Edar dadah: Pasangan tunang, rakan terlepas tali gantung

Amaluddin Gulam Mohamad 26 (kiri), berjalan keluar dari mahkamah selepas dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan mengedar dadah jenis ganja di Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini. Turut dilepas dan dibebaskan dua lagi rakannya Kamarul Izwan Rasidi, 28, dan Nursyuhadah Md Zain, 28 (gambar kanan). - Foto BERNAMA
A
A

SHAH ALAM - Tangisan kegembiraan keluarga mengiringi pasangan tunang serta seorang rakan mereka yang terlepas tali gantung apabila dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mengedar kanabis oleh Mahkamah Tinggi, di sini hari ini.

Hakim Datuk Abdul Halim Aman membebas dan melepaskan Kamarul Izwan Rasidi, 28, dan tunangnya Nursyuhadah Md Zain, 28, serta rakan mereka, Amaluddin Gulam Mohamad, 26, selepas berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Sejurus prosiding berakhir, mereka kelihatan memeluk ahli keluarga masing-masing yang berada di galeri awam.

Kamarul Izwan, Nursyuhadah dan Amaluddin sebelum ini dibicarakan atas pertuduhan bersama-sama mengedar kanabis seberat 512 gram di tepi Jalan PJS 8/5, Sunway Mentari, Sungai Way, dekat sini, kira-kira jam 9 malam pada 8 Februari 2018.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Seramai empat saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan dengan 24 eksibit dikemukakan kepada mahkamah sepanjang perbicaraan yang bermula pada 13 Mei lepas.

Terdahulu, dalam penghakimannya, Abdul Halim berkata, antara asas kes berkenaan gagal dibuktikan sebagai kes prima facie berikutan penyiasatan dilakukan secara ‘tidak lengkap, tidak menyeluruh dan tidak terperinci’.

“Pegawai penyiasat kes mengakui gagal memadankan tujuh kesan cap jari pada eksibit yang dikemukakan dengan mana-mana tertuduh disebabkan masalah sistem (cap jari) sehingga perlu dihantar kepada pihak forensik.

“Pengesanan (cap jari) oleh bahagian forensik pula dilakukan dua hari sebelum perbicaraan kes berakhir pada Julai lepas. Ini menunjukkan sikap tidak prihatin pegawai penyiasat kes. Berdasarkan kepada asas-asas itu, mahkamah memutuskan ketiga-tiga tertuduh dilepas dan dibebaskan,” katanya.

Kamarul Izwan diwakili peguam Mohamad Hafiz Jalaludin serta Mohamad Salihen Mastor manakala Nursyuhadah diwakili peguam Gerard Lazarus.

Amaluddin pula diwakili peguam Datuk N. Sivananthan dan Dhanyaa Shreeya sementara Timbalan Pendakwa Raya Zuraini Abdul Razak mewakili pihak pendakwaan. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia