Empat persatuan Tionghoa, Tamil bersatu bantah khat, Jawi

A
A

1. Empat persatuan Tionghoa, Tamil bersatu bantah khat, Jawi

Sebanyak empat buah persatuan masyarakat Tionghoa dan Tamil di Kedah, hari ini, melancarkan kempen bagi mengumpul tandatangan membantah penulisan seni khat dan Jawi yang bakal diperkenalkan kepada murid-murid di sekolah vernakular nanti.
Empat buah persatuan itu adalah Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah-Sekolah Cina Kedah, Persatuan Dewan Perhimpunan Cina Kedah, Gabungan Persatuan Orang-Orang Cina Sungai Petani dan Kedah Tamil Foundation.

Pengerusi Kedah Tamil Foundation, G. Kumaran berkata, mereka tidak bersetuju langkah kerajaan untuk memperkenalkan seni khat dan Jawi kepada murid-murid tahun empat hingga enam di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Kata beliau, Perlembagaan adalah jelas menyatakan bahawa tulisan rumi digunakan sebagai bahasa rasmi dan bukannya Jawi atau seni khat.
2. Dong Zong memang rasis: Khaled

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melabel Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) sebagai rasis.


Menyifatkan ia sebagai sangat tepat dan berasas, menurutnya, kenyataan tersebut adalah pandangan terpendam kebanyakan parti politik, pertubuhan, individu berpengaruh dan kebanyakan masyarakat Melayu.

Malah, beliau berkata, sokongan terhadap pandangan Mahathir itu bersandarkan kepada beberapa alasan.
Mohamed Khaled berkata, melabelkan pendidikan khat sebagai Islamisasi adalah kenyataan yang xenophobic, Islamofobik malah Melayufobik, dan punca penentangan melulu tersebut adalah prejudis serta kebencian yang menebal kepada Islam, Melayu dan warisan negara.
3. Hubungan DAP Selangor-MB tak retak, cuma beza pendapat

Ketegangan antara kepimpinan DAP Selangor dengan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari hanya melibatkan perbezaan pendapat dan tidak menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri.


Setiausaha DAP Selangor, Ronnie Liu berkata, beberapa keputusan yang dibuat oleh Amirudin dalam pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini dilihat tidak selari dengan pendirian DAP sehingga menyebabkan berlakunya perbezaan pendapat tersebut.

Beliau berkata, perbezaan pendapat itu bagaimanapun merupakan perkara biasa dalam politik dan Amirudin seharusnya menerima pandangan daripada pihak lain berhubung beberapa isu yang dibangkitkan sebelum ini.
4. Ucapan disalah tafsir, berniat jahat : Zakir Naik

Pendakwah terkenal dari India, Dr Zakir Naik menafikan dakwaan yang mengatakan beliau mewujudkan suasana tidak harmoni di Malaysia sambil menjelaskan pengkritiknya salah tafsir berhubung ucapannya bagi tujuan politik dan menganiayanya.


Zakir menjelaskan, ketika ucapannya di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu, 9 Ogos lalu, beliau memuji langkah Malaysia mengamalkan pendekatan Islam memberi layanan adil kepada masyarakat India dan menegakkan hak mereka.

Malah katanya, situasi itu berbeza di India di mana kerajaan India gagal melakukan perkara sama bagi melakukan sesuatu terhadap golongan minoriti.
Beliau berkata demikian melalui kenyataan media yang diberikan Penasihat Media Zakir, Aarif Malik yang berpangkalan di India kepada Sinar Harian bagi menjawab pidatonya yang diputar belit selepas tiga hari berlangsungnya majlis anjuran Kerajaan Kelantan itu.
5. Malaysia negara keempat teratas bimbang usia tua: Kajian

Malaysia adalah negara keempat teratas daripada 29 negara yang rakyatnya bimbang menghadapi usia tua, menurut kaji selidik sebuah firma penyelidikan pasaran Ipsos Sdn Bhd.


Ipsos dalam satu kenyataan berhubung kajian terbarunya mengenai 'Penuaan di Malaysia' hari ini, menunjukkan bahawa Malaysia berada di kedudukan selepas Brazil, China dan Rusia yang masing-masing menduduki tempat pertama hingga ketiga.

Berdasarkan kajian itu mendapati bahawa sejumlah 62 peratus warga Malaysia risau tentang penuaan, berbanding dengan 52 peratus jumlah kebimbangan di seluruh dunia.

Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia