The Edge terima ganti rugi tambahan RM500,000

Pejabat The Edge -Foto The Edge Markets
Pejabat The Edge -Foto The Edge Markets
A
A
A

KUALA LUMPUR - Syarikat penerbitan The Edge Communications Sdn Bhd hari ini berjaya memperoleh ganti rugi tambahan berjumlah RM500,000 daripada kerajaan kerana kehilangan pendapatan akibat tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggantung penerbitan dua akhbar harian syarikat berkenaan selama tiga bulan selepas melaporkan isu berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tiga tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Nordin Hassan memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan yang dikemukakan The Edge Communication sebagai tambahan jumlah ganti rugi sebanyak RM11.26 juta yang diberikan mahkamah sebelum ini.

Dalam keputusannya, Nordin berkata, ganti rugi tauladan berjumlah RM500,000 adalah berpadanan dengan kerugian yang dialami syarikat berkenaan.

"Terdapat keadaan yang luar biasa bagi mahkamah untuk memberikan ganti rugi teladan yang dipohon pemohon (The Edge) kerana telah menjadi mangsa tindakan tidak berperlembagaan responden (KDN) yang menggantung penerbitan," katanya.

Beliau bagaimanapun menolak ganti rugi kerosakan dan pampasan yang dituntut The Edge kerana berpandangan ianya adalah tidak wajar.

Pada masa yang sama, kerajaan mengemukakan rayuan bagi membantah perintah ganti rugi berjumlah lebih RM11.26 juta yang diperoleh syarikat penerbitan The Edge.

Sehubungan itu beliau memerintahkan kerajaan membayar kos sebanyak RM15,000 kepada The Edge.

Pada 17 Disember tahun lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Ketua Setiausaha KDN dan Menteri Dalam Negeri selaku responden membayar ganti rugi pampasan berjumlah RM11,260,350 kepada The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily selaku pemohon, yang digantung penerbitan selama tiga bulan sejak 27 Julai 2015.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua responden untuk membayar faedah sebanyak empat peratus bermula 27 Julai 2015 sehingga penyelesaian penuh kes berkenaan.

Pada 9 Ogos 2017, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa The Edge boleh menuntut ganti rugi daripada Menteri Dalam Negeri untuk kerugian yang dialami berhubung penggantungan dua penerbitannya selepas menolak rayuan Menteri Dalam Negeri dan Ketua Setiausaha KDN untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan The Edge menuntut ganti rugi daripada kedua-dua pihak.

Berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan itu, kes berkenaan dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk taksiran ganti rugi.

KDN menggantung permit penerbitan The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily selama tiga bulan dari 27 Julai 2015 berkaitan laporannya mengenai isu 1MDB.

Bagaimanapun perintah itu dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi pada 21 September 2015, yang membenarkan permohonan The Edge untuk permohonan semakan kehakiman bagi mencabar perintah tersebut.

Mahkamah Tinggi juga memerintahkan penilaian taksiran ganti rugi yang dialami The Edge dibuat.

Pada 30 Ogos 2016, Mahkamah Rayuan menolak rayuan KDN terhadap keputusan Mahkamah Tinggi bagi penilaian ganti rugi.

The Edge memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 27 Julai 2015 terhadap kedua-dua responden bagi mendapatkan perintah supaya mahkamah menolak keputusan Menteri Dalam Negeri menggantung permit penerbitan kedua-dua penerbitan berkenaan.