PKWFM desak kerajaan segera muktamad keputusan

Mohd Fauzi Mat Adam
A
A

KEMAMAN - Pertubuhan Kebajikan Warga Felda Malaysia (PKWFM) mendesak kerajaan meluluskan segera kebenaran muktamad kepada generasi baharu Felda untuk membina rumah sendiri di tapak asal tanah ibu bapa mereka.

Setiausahanya, Mohd Fauzi Mat Adam berkata, kelulusan kebenaran itu perlu disertakan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang lengkap terutamanya berkaitan Akta Penempatan Berkelompok (GSA).

Menurutnya, jika dasar dua rumah satu lot itu segera dimuktamadkan dan tidak ditangguhkan lagi, ia sedikit sebanyak dapat membantu isu perumahan generasi baru Felda dan penghijrahan keluar dari tanah rancangan Felda.

"Di tanah rancangan sekarang, memang banyak rumah telah dibina anak peneroka di tanah asal ayah mereka.

"Namun tanpa kebenaran yang muktamad dan tanpa hitam putih serta dasar kerajaan yang berubah-ubah, mereka ini merasa tidak tenteram seolah-olah telah meneroka tanah haram walaupun sebenarnya dibina di tanah ibu bapa mereka sendiri," katanya.

Mohd Fauzi berkata, ekoran itu hasrat mereka yang baharu merancang untuk membina rumah kedua di tanah ibu bapa juga terbantut kerana tiada dasar yang jelas dan muktamad dari pihak Felda atau kerajaan.

Katanya, warga generasi baharu Felda ditawarkan untuk membina rumah kedua di tapak asal rumah ibu bapa mereka sebagaimana diumumkan bekas Perdana Menteri sebelum ini.

Bagaimanapun tambahnya, selepas lebih setahun pilihan raya umum yang menyaksikan kerajaan PH telah mengambil alih tampuk kepimpinan dan pertukaran kepimpinan tertinggi Felda, warga generasi baru Felda seolah-olah dinafikan hak tersebut.

"Diberitakan bahawa pihak Felda telah menjelaskan bahawa kebenaran membina dua rumah dalam satu lot ini ditangguhkan sementara menanti dasar baharu yang akan diperkenalkan.

"Selain itu, Felda juga diberitakan menangguhkan sementara semua permohonan tanah lot rumah generasi baharu," katanya.

Katanya, pembinaan Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) juga diperlahankan kerana isu kewangan membuatkan isu generasi baharu Felda berkaitan perumahan menjadi semakin rumit.

"Oleh itu memandangkan dasar dua rumah satu lot ini tidak memerlukan modal yang banyak, kami desak ia segera dimuktamadkan.

"Kami mohon kepada kerajaan supaya mudahkanlah urusan rakyat. Janganlah terlampau banyak karenah birokrasi sehingga perkara yang dapat segera diatasi memakan tahun untuk dibincangkan," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia