Kumpulan Public Bank peroleh untung sebelum cukai RM3.55 bilion

Teh Hong Piow
A
A

KUMPULAN Public Bank mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM3.55 bilion BAGI setengah tahun pertama berakhir pada 30 Jun 2019.

Dalam kenyataan akhbar dinyatakan, keuntungan bersih milik pemegang-pemegang saham ialah RM2.74 bilion, berbanding RM2.80 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama sebelum ini.

Pengarah dan Penasihat Kumpulan Public Bank, Tan Sri Dr Teh Hong Piow berkata, persekitaran ekonomi dan perbankan masa ini semakin mencabar.

"Pengurangan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada Mei 2019, bank-bank domestik menghadapi pengurangan margin faedah bersih yang menjejaskan keuntungan bagi setengah tahun pertama berakhir pada 30 Jun 2019.

"Bagaimanapun kesan negatif daripada pengurangan OPR itu, kumpulan berupaya mengekalkan keuntungan yang stabil diteguhkan oleh pertumbuhan pinjaman dan deposit yang baik, kualiti aset yang stabil dan pengurangan kos yang berhemat," katanya.

Tambahnya, dalam menghadapi cabaran yang semakin meningkat berikutan pertumbuhan sektor perbankan domestik yang menyederhana dan tekanan margin faedah yang berterusan, kumpulan berpendapat bahawa mengekalkan kecekapan kos dan kualiti aset yang kukuh adalah penting bagi perniagaan jangka panjang yang mampan.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan bagi tahun 2019, lembaga pengarah mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 33 sen sesaham yang diterjemahkan kepada pembayaran dividen berjumlah RM1.28 bilion.

"Dividen interim pertama itu akan dibayar pada 10 September 2019 berdasarkan tarikh kelayakan dividen pada 29 Ogos 2019," katanya.

Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia