Kerajaan Pulau Pinang bermesyuarat petang ini

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan negeri akan bermesyuarat petang ini bagi membincangkan mengenai bantuan yang akan disalurkan kepada penduduk yang terjejas dengan kejadian ribut pada 9 Ogos lalu.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya telah menerima laporan dari semua pejabat daerah di negeri ini mengenai bilangan keluarga yang terlibat dengan bencana berkenaan.

Menurutnya, daerah Seberang Perai Utara mencatatkan jumlah paling tinggi iaitu sebanyak 895 keluarga, Timur Laut (469), Barat Daya (406), Seberang Perai Tengah (183) dan Seberang Perai Selatan (69).

"Perbincangan tentang bentuk bantuan akan ditentukan pada petang nanti dan saya akan memaklumkan nanti keputusan yang akan dibuat kerajaan negeri," katanya pada sidang media di sini sebentar tadi.

Dalam kejadian malam Jumaat lalu, penduduk di kawasan utara dikejutkan dengan kejadian angin kencang dan disusuli dengan hujan lebat sehingga mengakibatkan banyak kerosakan harta benda.

Kejadian yang berlaku jam 10.30 malam mengakibatkan banyak kejadian pokok tumbang selain ratusan rumah mengalami kerosakan akibat bumbung diterbangkan angin.

Tinjauan yang dilakukan Sinar Harian sebelum ini mendapati banyak rumah rosak masih belum dibaiki dan penduduk yang ditemui pula mengharapkan ehsan kerajaan agar mempercepatkan bantuan kepada mereka.

Artikel Berkaitan: