Suri rumah mengaku curi 40 helai kain batik

Tertuduh, Norazlin mengaku salah mencuri 40 helai kain batik milik Pasaraya Mydin Gong Badak di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini.
Tertuduh, Norazlin mengaku salah mencuri 40 helai kain batik milik Pasaraya Mydin Gong Badak di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang suri rumah dijatuhi hukuman tiga bulan penjara dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini kerana mencuri kain batik milik Pasaraya Mydin Gong Badak, Kuala Nerus.

Tertuduh, Norazlin Jamaludin, 30, dari Melaka turut berdepan tambahan sebulan lagi penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan dibuat selepas ibu kepada empat anak itu mengaku mencuri sebanyak 40 helai kain batik bernilai RM796 milik Pasaraya Mydin Gong Badak kira-kira jam 5.30 petang, 10 Ogos lalu.

Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan L Rathna di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Berdasarkan fakta kes, sebelum kejadian, seorang juruwang pasar raya berkenaan (pengadu) ternampak seorang wanita berjubah (tertuduh) keluar melalui pintu keluar dalam keadaan mencurigakan dan tergesa-gesa.

Pengadu juga nampak tertuduh seperti memegang sesuatu di dalam tudungnya sebelum bertindak memanggil tertuduh tetapi tidak diendahkan dan terus masuk ke dalam tandas wanita.

Artikel Berkaitan:

Sejurus tertuduh keluar dari tandas berkenaan, pengadu terus menangkapnya sebelum melakukan pemeriksaan di dalam tandas dan menjumpai 40 helai kain batik dibalut dengan tudung serta diletakkan di dalam beg kertas yang disembunyikan tertuduh.