Sagami tambah pelaburan RM101 juta di Perak

Mohammad Nizar (tiga dari kanan) bersama Hiroshi Hizawa (empat dari kanan) melihat produk dihasilkan Sagami Manufacturers Sdn Bhd.
A
A

BATU GAJAH - Sagami Manufacturers Sdn Bhd (Sagami Malaysia) yang bertapak di Perak sejak tahun 1973 mengembangkan perniagaan menerusi penambahan gudang baharu di Kawasan Perindustrian Bemban di sini melibatkan nilai pelaburan RM101 juta.

Tambahan antaranya melibatkan bangunan operasi pengeluaran itu merupakan strategi terbaru Sagami bagi menampung permintaan tinggi negara-negara luar terhadap produk kondom.

Exco Pelaburan, Industri dan Pembangunan Wilayah, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, bangunan dilengkapi teknologi terkini dan teknologi kecerdasan buatan (AI) itu dijadualkan mula beroperasi April tahun hadapan serta bakal menyediakan lebih 600 peluang pekerjaan kepada penduduk negeri ini.

"Syarikat ini telah memulakan pelaburan sejak tahun 70-an lagi. Mereka merupakan kilang pertama menghasilkan kondom lateks getah asli yang dipasarkan ke lebih 60 negara terutama Jepun.

"Oleh kerana bekalan bahan mentah di sini agak murah berbanding negeri lain, mereka meneruskan perusahaan dengan menambah pelaburan sedia ada. Jumlah pelaburan Sagami setakat ini mencecah RM361 juta," katanya pada sidang media sempena lawatan kerja ke kilang itu hari ini.

Lawatan itu turut disertai Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Invest Perak.

Mohammad Nizar berkata, lawatan itu antara lain untuk memastikan semua agensi baik negeri mahupun Persekutuan bekerjasama memastikan syarikat dapat memulakan operasi seperti dijadualkan tanpa masalah tertangguh.

"Kesediaan syarikat ini melabur telah membuka ruang pekerjaan kepada anak-anak tempatan khususnya di Bemban, Batu Gajah dan Tronoh. Ia perkembangan baik yang seharusnya disokong kerajaan.

"Saya juga dimaklumkan MIDA turut akan memberi beberapa insentif kepada syarikat ini atas penggunaan teknologi terkini yang dibawa dari Jepun," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Sagami Manufacturers Sdn Bhd, Hiroshi Hizawa berkata, Sagami menjadi satu-satunya syarikat yang mengeluarkan kondom diperbuat daripada polietilena paling nipis iaitu 0.01 milimeter.

Katanya, penghasilan produk itu dilakukan sepenuhnya di kilang baharu bagi tujuan pasaran Jepun.

"Sagami memiliki tiga kilang di Perak iaitu satu di Silibin dan dua di Batu Gajah.

"Sehingga kini, modal berbayar syarikat adalah RM195 juta dan tahun lalu, syarikat ini menyerahkan jumlah pendapatan lebih RM75.2 juta," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia