Diugut, kereta dirosakkan pembuli jalan raya

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU- Seorang penyelia terpaksa menanggung kerugian kerana keretanya dirosakkan lelaki tidak dikenali dengan kayu selepas berlaku salah faham di atas jalan raya, di Jalan Kuala Ibai, di sini, kelmarin.

Bukan itu sahaja, mangsa berusia 29 tahun turut menerima ugutan jenayah yang boleh mengancam nyawanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam, mangsa sedang memandu kereta berseorangan sebelum kenderaan dipandunya bertembung dengan sebuah kereta jenis Perodua Kancil.

Menurut sumber, bagaimanapun dalam situasi itu, mangsa masih sempat mengelak dan tiada berlaku sebarang kecelakaan sebelum meneruskan perjalanan pulang ke rumahnya di perumahan Kuala Ibai, di sini.

"Namun semasa sedang memandu seperti biasa, mangsa dapati kereta berkenaan mengejarnya sebelum mengarahkan agar dia berhenti di tepi jalan.

"Akur dengan arahan itu, mangsa seterusnya memberhentikan kenderaannya sebelum membuka cermin kereta tetapi diarah keluar daripada kenderaan tersebut.

"Dalam nada marah dan kasar, suspek mengeluarkan kata-kata ugutan selain mengarahkan mangsa agar keluar dari kawasan itu dengan segera," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Jelas sumber, tanpa menghiraukan permohonan maaf mangsa, suspek seterusnya bertindak agresif dengan mengambil kayu yang ada di dalam keretanya sebelum memukul bahagian badan kereta mangsa lalu melarikan diri.

Artikel Berkaitan:

Kata sumber, tidak berpuas hati dengan perbuatan suspek selain bimbang keselamatan diri dan ahli keluarga lain, mangsa membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan ada menerima laporan kejadian.

Katanya, suspek kini masih diburu dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat merosakkan kenderaan mangsa.