Dakwaan Dong Zong belajar Jawi langkah Islamisasi tak berasas

Mohamed Fadzli
Mohamed Fadzli
A
A
A

KOTA BHARU - Tindakan Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) membantah pembelajaran Jawi dan khat yang dianggap sebagai langkah Islamisasi ke atas bukan Melayu sebagai tidak berasas.

Exco Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, Kelantan sendiri mempunyai sekolah agama yang memperkenalkan bahasa mandarin, termasuklah di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS).

"Penggunaan bahasa yang pelbagai akan membantu memperluaskan lagi khazanah negara.

"Apabila sekolah kita belajar mandarin dan cina, adakah kita berminat dengan agama mereka? tidak pun. Kita perlu pandang pada benda positif positif,"katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Mohamed Fadzli berkata, pembelajaran Jawi dan khat di sekolah vernakular tidak menjejaskan kepercayaan dan adat resam masyarakat bukan Islam.

Menurutnya, tulisan khat merupakan salah satu identiti Malaysia sebagai sebuah negara Islam dan ia juga merupakan tulisan al-Quran.

"Bagi orang bukan Islam, ini adalah salah satu identiti negara, kenapa tidak boleh terima?.

Artikel Berkaitan:

"Pemimpin pelbagai bangsa pada zaman dahulu ada yang memperjuangkan tulisan ini, mereka boleh terima dengan baik.

"Banyak kumpulan pelampau yang mahu membantah kemelayuan dan Islam ini. Mereka ini anti Islam dan dalam keadaan ini, jangan pula ada pihak yang cuba besarkan api keresahan ini," katanya.

Terdahulu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melabelkan Dong Zong sebagai rasis kerana tidak pernah bersetuju dengan dasar pendidikan negara termasuk isu pembinaan Sekolah Wawasan sebelum ini.

Perdana Menteri berkata, sikap Dong Zong dapat dilihat apabila pertubuhan itu masih membantah pembelajaran Jawi dan khat di sekolah vernakukar, sedangkan keputusan itu dibuat pada 2012 oleh kerajaan terdahulu.