Lihat kelestarian alam dari perspektif yang lebih luas

Dr Mohd Kamal Hassan - FOTO: ASRIL ASWANDI SHUKOR
Dr Mohd Kamal Hassan - FOTO: ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

GOMBAK - Pembangunan kelestarian alam perlu dilihat dari perspektif yang lebih luas sejajar dengan konsep yang dibawa oleh Islam.

Menurut Penasihat Pusat Pengajian Islam (CENTRIS), Profesor Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan, Islam melihat perkara itu dari segenap sudut iaitu secara menyeluruh bagi memastikan ia mampu bertahan lama.

Menurutnya, matlamat pembangunan kelestarian (SDG) yang diwujudkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hanya melihat dari tiga dimensi sahaja iaitu ekonomi, sosial dan alam sekitar.

"Sebaliknya, Islam melihat masalah manusia iaitu kemiskinan, alam sekitar, selain daripada faktor ekonomi dan sosial, alam sekitar ada faktor moral kerohanian, kuasa ALLAH dan ada faktor alam ghaib.

"Jadi Islam melihat kelestarian ini dari perspektif yang lebih luas...lebih holistik dan mengambil kira kuasa ALLAH," katanya ketika menyampaikan syarahan perdana bertajuk 'Gratitude, Expectations and New Horizon For Islamicisation and Revelvantisation' di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia hari ini.

Peserta program mendengar syarahan perdana bertajuk 'Gratitude, Expectations and New Horizon For Islamicisation and Revelvantisation' di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia hari ini. - FOTO: ASRIL ASWANDI SHUKOR
Peserta program mendengar syarahan perdana bertajuk 'Gratitude, Expectations and New Horizon For Islamicisation and Revelvantisation' di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia hari ini. - FOTO: ASRIL ASWANDI SHUKOR

Mengulas lanjut katanya, kelestarian alam tidak mungkin dapat dilestarikan tanpa keberkatan daripada ALLAH.

"Keberkatan daripada ALLAH hanya akan datang bila manusia melaksanakan pembangunan mengikut jalan ALLAH iaitu menjauhkan perkara haram dan mungkar, perbanyakkan benda makruf dan halal, jadikan menjaga hukum hakam yang ALLAH tentukan itu sebahagian daripada mencari keberkatan, jadi bila tiada keberkatan kelestarian itu tidak akan bertahan lama," katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru tegasnya, Islam perlu ke hadapan untuk memperbaiki keadaan semasa.

"Konsep tentang alam kita tak sama dengan konsep barat, konsepsi harta, mati dan hidup tak sama jadi kita perlu mengemukakan perspektif Islam untuk perbaiki keadaan untuk kebaikan manusia seluruhnya bukan untuk Islam sahaja," katanya.