Gaji minimum RM1,100: JTK Sarawak buat semakan terhadap majikan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA SAMARAHAN - Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sarawak akan sentiasa membuat semakan dari semasa ke semasa terhadap majikan agar sektor swasta di negeri ini agar mematuhi pelaksanaan gaji minimum RM1,100.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, selain itu JTK juga memberikan maklumat dan garis panduan kepada pihak majikan agar memberikan gaji pekerja berdasarkan kelayakan.

“Majikan jangan menyalah tafsir bahawa gaji minimum yang ditetapkan kerajaan itu adalah untuk semua kelayakan.

“Untuk gaji pokok haruslah mengikut kelayakan, kelulusan dan akademik individu tersebut, sama ada berdasarkan Sijil Kemahiran, Diploma, Sarjana dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelepasan Jelayah Kerjaya Kenyalang 3.0 dan program Karnival Kerjaya Peringkat Bahagian Samarahan di sini hari ini.

Mahfuz berkata, beliau juga mahu pekerja berani untuk tampil membuat aduan kepada JTK sekiranya ada majikan tidak mengikut garis panduan gaji yang telah ditetapkan.

“Pekerja tidak usah bimbang atau takut dibuang kerja kerana memberikan maklumat dan nama majikan kepada pihak JTK,

“Jika ada aduan diterima, ia memudahkan JTK untuk menjalankan siasatan, JTK juga akan merahsiakan segala maklumat peribadi anda dan tidak akan mendedahkannya kepada majikan,” katanya.

Seramai 20 majikan yang menawarkan lebih daripada 1,000 kekosongan jawatan dalam pelbagai industri mengambil bahagian dalam Program Karnival Kerjaya yang bermula di Kota Samarahan ini.

Artikel Berkaitan:

Seterusnya jelajah akan beralih ke Betong, Sibu dan Miri bagi memberikan peluang kepada pencari kerja yang lain di sekitar Sibu, Sarikei, Kapit dan Mukah. - Bernama