Hina tentera: Pemuda PH Terengganu gesa Yew Yin mohon maaf

HASBIE MUDA
A
A

KUALA TERENGGANU - Pemuda Pakatan Harapan (PH) Terengganu mengecam kebiadaban kenyataan ahli perniagaan, Koon Yew Yin terhadap tentera dan menggesa agar permohonan maaf terbuka dibuat kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ketuanya, Hasbie Muda berkata, kebebasan bersuara tidak seharusnya disalah guna dan dikhianati melalui kenyataan bersifat bongkak serta biadab, apatah lagi terhadap tentera yang menjaga keselamatan negara.

“Tiada siapa pun yang bergelar rakyat Malaysia sepatutnya mengeluarkan kenyataan bersifat menghina kepada pasukan keselamatan negara.

“Pemuda PH Terengganu menggesa agar Koon Yew Yin membuat permohonan maaf terbuka kepada ATM dan tidak sewenang-wenang mengeluarkan kenyataan yang boleh menggores hati mana-mana pihak dalam negara,” katanya.

Sebelum ini, Yew Yin mendakwa anggota tentera ‘hanya tahu makan dan tidur’.

Menurut Hasbie, kewujudan dan jasa tentera mungkin tidak dirasai secara sedar oleh Yew Yin, namun tidak mungkin keamanan dan keselamatan negara hari ini berlaku melalui tangan ghaib melainkan ada pasukan keselamatan yang berkorban diri dan keselesaan mereka bagi memastikan tanah air bebas daripada ancaman musuh.

“Tutur itu (kenyataan Yew Yin) merupakan ungkapan paling biadab dikeluarkan terhadap pasukan keselamatan negara yang sentiasa bersedia menjaga perbatasan negara daripada ancaman musuh,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia