Provokasi tentera: Mat Sabu hanya 'menikus', kata pemimpin Pas

Kamaruddin dan Mohamad Sabu.
A
A

MELAKA - Pas Melaka melahirkan kekesalan terhadap sikap Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang berdiam diri selepas anggota keselamatan negara terutama anggota tentera dihina seorang taikun Cina bernama Koon Yew Yin.

Pesuruhjayanya, Kamaruddin Sidek berkata, tindakan Yew Yin yang menganggap anggota tentera hanya makan dan tidur serta membebankan kewangan negara adalah suatu provokasi melampau.

"Saya cukup hairan dengan sikap Menteri Pertahanan yang 'menikus' bagi membela tentera dan perajurit yang telah berkorban untuk menjaga keamanan negara selama ini.

"Saya rasa pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) sudah hilang 'nafsu berjuang' selepas PRU14. Rakyat tidak nampak apa yang mereka boleh pertahankan untuk rakyat khusus apabila menyentuh maruah orang Melayu. Adakah Amanah sudah termakan dedak beracun?" soalnya.

Yew Yin dalam tulisan blognya sebelum ini turut mendedahkan bahawa beliau pernah memberi bantuan kewangan kepada empat parti komponen dalam PH serta berkempen di beberapa lokasi dalam Perak bagi memastikan kemenangan PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Terbaru, Yew Yin telah menghina keseluruhan anggota keselamatan negara terutama tentera apabila menyatakan bahawa mereka selama ini hanya makan tidur dan tidak pernah menembak musuh, seterusnya mencadangkan agar mereka membuat kerja-kerja ladang bagi menggantikan pekerja asing.

Sikap beliau dikhuatiri boleh mengakibatkan berlaku ketegangan kaum kerana kebanyakan anggota tentera adalah bangsa peribumi.

ARTIKEL BERKAITAN: Tentera adalah pilihan terakhir negara


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia