Hubungan Malaysia-Thailand tingkat pembangunan akademik

Shaiful (dua kiri) bersama Dr Somdech Rungsrirawat ketika menandatanggani perjanjian persefahaman bagi menjalinkan kerjasama dari segi akademik, seni dan budaya, di Thailand baru-baru ini.
A
A

SUNGAI PETANI - Hubungan dua hala antara institut pengajian tinggi dalam dan luar negara mampu memantapkan pembangunan akademik sekaligus menjadi platform perkongsian seni dan budaya.

Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kedah, Profesor Madya Dr Shaiful Annuar Khalid berkata, jalinan kerjasama antara Suan Sunandha Rajabhat University (SSRU) di Bangkok, Thailand dan UiTM ternyata mampu memberi impak positif secara global.

Menurutnya, satu perjanjian telah dimeterai melalui memorandum persefahaman yang akan menekankan aspek perhubungan akademik melalui pertukaran ilmu dan kepakaran berkaitan pembangunan industri dan seni.

"Jalinan kerjasama ini dapat dijadikan langkah awal memperkembangkan industri seni kreatif di UiTM secara khasnya dan Malaysia secara umumnya," katanya ketika mewakili UiTM menandatangani memorandum berkenaan di Bangkok, Thailand baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Presiden Suan Sunandha Rajabhat University, Profesor Dr Somdech Rungsrirawat.

Shaiful berkata, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM Cawangan Kedah diberikan mandat untuk menjalankan pelbagai aktiviti akademik termasuklah pertukaran staf dan pelajar antara kedua-dua buah universiti.

"Kita akan memastikan hubungan kerjasama ini akan memberikan impak positif secara global bukan sahaja untuk UiTM malahan akan turut dirasai oleh pemegang taruh universiti yang lain termasuklah komuniti sekitar kampus," katanya.

Dalam pada itu, katanya, UiTM Cawangan Kedah akan menjadi medium memastikan kemajuan industri seni kreatif Thailand diserapkan dan digarapkan dalam perlaksanaan di negara ini pada masa depan.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia