Hubungan DAP Selangor-MB tak retak, cuma beza pendapat

Ronnie Liu
Ronnie Liu
A
A
A

SHAH ALAM - Ketegangan antara kepimpinan DAP Selangor dengan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari hanya melibatkan perbezaan pendapat dan tidak menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri.

Setiausaha DAP Selangor, Ronnie Liu berkata, beberapa keputusan yang dibuat oleh Amirudin dalam pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini dilihat tidak selari dengan pendirian DAP sehingga menyebabkan berlakunya perbezaan pendapat tersebut.

Beliau berkata, perbezaan pendapat itu bagaimanapun merupakan perkara biasa dalam politik dan Amirudin seharusnya menerima pandangan daripada pihak lain berhubung beberapa isu yang dibangkitkan sebelum ini.

"Perbezaan pendapat yang kita perjuangkan ini bukanlah untuk diri sendiri atau kaum tertentu namun melibatkan kebajikan rakyat seluruh negeri ini.

"Kita cuma harap menteri besar boleh tenang dan dengar pendirian kita. Dalam masa sama kita pun cuba untuk memahami pendirian beliau.

"Namun perbezaan pendapat antara kami ini tidaklah sehingga mengganggu pentadbiran kerajaan negeri," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Mengulas lanjut, Ronnie berkata, terdapat beberapa perkara yang diputuskan oleh Amirudin sebelum ini telah menimbulkan pertikaian dalam kalangan pimpinan DAP antaranya melibatkan isu pengurangan peruntukan tahunan untuk kampung dan desa dan penghapusan beberapa skim bantuan rakyat.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek mempersoalkan tindakan Amirudin tersebut berikutan negeri Selangor memiliki rizab yang agak tinggi iaitu sekitar RM2.3 bilion.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai contoh, 13 kawasan kampung dan desa termasuk Sungai Pelek terpaksa berdepan dengan pengurangan peruntukan sedangkan rakyat mengharapkan bantuan daripada kerajaan Selangor yang terkenal dengan pelbagai inisiatif serta skim bantuan.

"Rizab Selangor juga agak tinggi berbanding negeri lain dan pemotongan beberapa skim bantuan yang dilaksanakan kerajaan Selangor tidak memadai bagi saya," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor), Ronnie berkata, perkara itu perlu diberikan perhatian memandangkan ia juga melibatkan kaum bukan Islam di negeri ini.

Tambah beliau, cadangan bagi pindaan itu juga tidak berperlembagaan dan pelaksanaan tersebut dianggap seolah-olah seperti sia-sia.

"Perlembagaan negara kita jelas menyatakan bahawa semua rakyat mempunyai kebebasan untuk beragama.

"Jadi DAP akan teruskan perjuangan ini bagi memastikan menteri besar dapat melihat semula beberapa keputusan yang telah dibuat oleh beliau sebelum ini demi kebajikan seluruh rakyat," katanya.