Ulat haram program B4G dicekup

PATI tidak melepaskan peluang mengambil bahagian dalam bagi program Back For Good (B4G). - Foto Imigresen
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen Kuala Lumpur membongkar kegiatan ejen atau ulat haram yang mengambil kesempatan mengaut untung berlipat ganda memperdaya pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui program Back For Good (B4G) untuk permohonan pulang ke negara asal.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, kegiatan itu dikesan pihaknya menerusi pemantauan serta tindakan penguatkuasaan berkala di sekitar Kuala Lumpur bermula 1 Ogos hingga 10 Ogos lalu.

Menurutnya, susulan itu tiga warga asing termasuk seorang wanita berusia lingkungan 30 hingga 40-an ditahan.

"Pemeriksaan mendapati seorang daripada mereka adalah warga Pakistan dan dua lagi warga Indonesia.

"Siasatan mengesyaki mereka ini terlibat menjadi ejen atau ulat haram di sekitar lokasi program B4G dengan mengaut untung serendah RM200 hingga RM1,500 bagi setiap PATI yang hendak mendapatkan program B4G," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Katanya, kesemua suspek ditahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana dikesan melanggar syarat pas dan permit.

Mengulas lanjut, Hamidi berkata, pihaknya memandang serius perkara ini dan akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang dikenal pasti menjadi agen haram.

Tambahnya, sepanjang tempoh 1 Ogos hingga 10 Ogos, seramai 1,575 PATI mengikut program B4G di Kuala Lumpur.

"Mana-mana PATI diseru supaya menyertai program ini dan diminta untuk tidak terpedaya dengan agen atau ulat haram yang mengambil kesempatan," katanya.

Program B4G yang bermula 1 Ogos lalu dan berakhir 31 Disember ini di Semenanjung Malaysia bertujuan untuk memberi peluang kepada warga asing yang telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959 pulang ke negara asal secara sukarela mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.