4 pendaki sesat di Bukit Fraser diselamatkan

Anggota bomba berdepan kesukaran untuk membawa turun mangsa ekoran keadaan muka bumi yang berbukit
Anggota bomba berdepan kesukaran untuk membawa turun mangsa ekoran keadaan muka bumi yang berbukit
A
A
A

KUANTAN - Empat pendaki termasuk dua wanita yang sesat di Bukit Fraser petang semalam ditemui selamat dan dibawa turun oleh pasukan bomba dan penyelamat pagi tadi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, pihaknya menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi membantu membawa kesemua mangsa yang sesat di Bukit Fraser petang semalam.

Menurutnya, empat mangsa berusia 18 hingga 22 tahun termasuk dua daripadanya mengalami kecederaan ditemui kira-kira jam 8.45 pagi tadi di kawasan Twin Peak selepas tersasar dari trek pendakian.

"Pasukan SAR terdiri tiga anggota bomba dan dua anggota polis masuk ke lokasi pencarian kira-kira jam 2.30 pagi tadi untuk mencari mangsa.

No Image Caption

“Kira-kira jam 8.45 pagi, mangsa berjaya ditemui dan dua daripadanya wanita didapati mengalami kecederaan (terseliuh).

“Anggota SAR memberi bantuan rawatan awal kepada mangsa yang cedera sebelum semua mangsa dibawa turun," katanya.

Anuar berkata, pihaknya menerima panggilan daripada polis Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Raub jam 11.51 malam tadi memaklumkan mangsa gagal keluar dari trek pendakian selepas menjalankan aktiviti pendakian bersama tujuh rakan yang lain dengan masuk ke kawasan itu melalui Pine Tree, tengah hari 12 Ogos lalu.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, tujuh rakan mereka berusia 19 hingga 46 selamat keluar dari trek pendakian jam 5.30 petang semalam, bagaimanapun mangsa gagal berbuat demikian.

“Susulan itu, rakan mangsa membuat laporan polis memaklumkan kehilangan mereka sebelum operasi SAR digerakkan”, katanya.