Dong Zong memang rasis: Khaled

Mohamed Khaled
A
A

JOHOR BAHRU - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melabel Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) sebagai rasis.

Menyifatkan ia sebagai sangat tepat dan berasas, menurutnya, kenyataan tersebut adalah pandangan terpendam kebanyakan parti politik, pertubuhan, individu berpengaruh dan kebanyakan masyarakat Melayu.

Malah, beliau berkata, sokongan terhadap pandangan Mahathir itu bersandarkan kepada beberapa alasan.

"Pertama, kalau kita semak, selama berpuluh tahun, pendidikan Cina di negara ini dilaksanakan tanpa sebarang sekatan dari kerajaan.

"Malangnya, baru sahaja kerajaan ingin memperkenalkan setakat enam muka surat pendidikan seni khat tulisan jawi dalam sukatan mata pelajaran bahasa Melayu, mereka melatah, melompat dan dengan pantas melabelkan ikhtiar tersebut sebagai usaha Islamisasi yang sistematik," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mohamed Khaled berkata, melabelkan pendidikan khat sebagai Islamisasi adalah kenyataan yang xenophobic, Islamofobik malah Melayufobik, dan punca penentangan melulu tersebut adalah prejudis serta kebencian yang menebal kepada Islam, Melayu dan warisan negara.

Katanya, alasan kedua adalah Dong Zong lupa mereka tinggal di Malaysia iaitu sebuah negara yang majmuk dan multibudaya.

"Apakah sangat jelik untuk belajar tentang budaya dan tradisi bangsa lain sebanyak enam lembar?

"Sedangkan manfaat besar latihan tanpa peperiksaan tersebut mampu membenihkan kefahaman tentang kemajmukan Malaysia yang meraikan kepelbagaian," katanya.

Mohamed Khaled berkata, alasan ketiga, selama wujudnya Dong Zong, beliau selama ini tidak pernah mendengar sumbangan persekutuan tersebut ke arah mengukuhkan pendidikan nasional.

"Tidak pernah kita dengar sebarang kompromi, toleransi mahupun solusi kepada pendidikan nasional.

"Yang ada, hanya kepentingan mereka yang langsung tidak boleh dibincangkan oleh bangsa lain," katanya.

Selain itu, katanya, alasan terakhir, setiap ilmu itu penting dan bernilai malah warisan negara tidak akan pernah hilang nilai serta kepentingannya.

"Fahamilah bahawa pendidikan bukan tentang melahirkan robot dan jutawan semata-mata. Ia misi melahirkan insan terbaik untuk masyarakat dan negara.

"Kita tidak mahu melahirkan pelajar yang hanya dikerah menghafal segala macam rumus dan fakta yang pelbagai, tetapi sempit pemikiran dan kecil jiwanya," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Dong Zong memang rasis, hanya cakap soal orang Cina: PM


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia