Maqis rampas produk hasilan daging

Pegawai penguatkuasa MAQIS menunjukkan produk daging yang dirampas di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas baru-baru ini.
Pegawai penguatkuasa MAQIS menunjukkan produk daging yang dirampas di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas baru-baru ini.
A
A
A

GEORGETOWN - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk produk hasilan haiwan dari pelbagai negara tanpa dokumen yang sah seperti Import Permit (IP) dan sijil kesihatan dari negara asal.

Rampasan itu dilakukan dalam pemeriksaan yang dilakukan Maqis di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas baru-baru ini.

Pengarah Maqis Pulau Pinang, Zarina Ramli berkata, hasil daripada pemeriksaan yang dilakukan sepanjang bulan Julai sehingga pertengahan bulan ini, pihaknya telah merampas pelbagai hasilan daging haiwan seperti daging babi, itik, lembu, dan kambing dengan anggaran berat sebanyak 80kg.

Menurutnya, perbuatan mengimport produk hasilan haiwan tanpa permit yang sah adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3), akta sama.

"Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

"Penahanan produk daging tersebut adalah untuk mencegah penularan penyakit ke dalam negara, virus African Swine Fever (ASF) yang boleh disebarkan melalui babi hidup, daging babi segar, babi sejuk beku, daging babi proses seperti salai, sosej dan sebagainya," katanya menerusi satu kenyataan di sini.

Zarina berkata, kesemua rampasan tersebut dihantar ke Stesen Kuarantin Haiwan (SKH) Batu Maung untuk tindakan pelupusan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Egg Yolk Powder Milk yang dirampas MAQIS Pelabuhan Dermaga Air Dalam, semalam.
Egg Yolk Powder Milk yang dirampas MAQIS Pelabuhan Dermaga Air Dalam, semalam.

Sementara itu dalam kes berasingan, Maqis Pulau Pinang berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk Egg Yolk Powder Milk tanpa dokumen yang sah seperti Import Permit (IP) di Pelabuhan Dermaga Air Dalam (DAD), Butterworth semalam.

Hasil daripada pemeriksaan yang dilakukan pada jam 5 petang itu mendapati terdapat konsainan Egg Yolk Powder Milk yang dibawa masuk dari India sebanyak 750kg yang dianggarkan bernilai RM17,909.

Zarina berkata, syarikat pengimport berkenaan dilihat tidak serik melakukan kesalahan yang sama walaupun tindakan pernah dikenakan sebelum ini.

Katanya, Maqis telah mengeluarkan kompaun kepada pengimport tersebut setelah mendapat kebenaran Timbalan Pendakwa Raya serta peringatan kepada pengimport supaya mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan.

"Kami sentiasa mengambil langkah serius dalam isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam kepada keselamatan makanan.

"Malah Maqis sentiasa komited dalam melaksanakan tugasan di semua pintu masuk negara bagi memastikan komoditi pertanian, haiwan dan ikan yang masuk ke dalam negara mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan bagi menjamin kualiti dan selamat untuk dimakan oleh rakyat Malaysia," katanya.

Tambahnya, tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara.