Bengkak kelenjar selepas BCG

A
A
A

Anda Musykil Doktor Jawab

SOALAN 1

SELAMATKAN bayi anda daripada serangan penyakit batuk kering.
SELAMATKAN bayi anda daripada serangan penyakit batuk kering.

DOKTOR, anak saya baru sahaja menerima suntikan bacillus calmette gurrain atau BCG. Selepas menerima suntikan, kelihatan bahagian bawah lengannya merah dan bengkak. Saya risau jika vaksin yang diberikan itu tidak sesuai dengan anak. Doktor, bagaimanakah untuk mengubati bengkak itu? - IBU BIMBANG, SITI ZALEHA WAN HARUN, 28, TANJUNG PINANG, PULAU PINANG

JAWAPAN:

VAKSIN merupakan kaedah mencegah penyakit berbahaya. Seluruh dunia masih menggunakan vaksin sebagai langkah pencegahan.

Ia satu kaedah yang ampuh bagi mencegah dan merawat penyakit yang menyebabkan berjuta kematian walaupun terdapat sedikit kesan sampingan.

Artikel Berkaitan:

Keberkesanan vaksin boleh dilihat apabila dapat menyelamatkan bayi setelah diberikan vaksin BCG. Ia menurunkan jumlah serangan penyakit batuk kering atau TB pada peringkat kanak-kanak.

Puan, kes bengkak kelenjar bawah ketiak perkara biasa boleh berlaku setelah vaksin BCG diberikan. Tempat biasa terbentuk benjolan dalam kalangan kanak-kanak adalah di bawah ketiak.

Pun demikian, jika terdapat benjolan pada bahagian lain, ia perlu disahkan sama ada berpunca daripada vaksin BCG atau kuman lain yang tiada kaitan dengan vaksin.

Vaksin BCG mengandungi bakteria mycobacterium bovis (m. bovis) yang telah dilemahkan dan bertindak sebagai antigen bagi menghasilkan antibodi. Ia melindungi bayi daripada bakteria mycobacterium tuberkulosis (m. tuberkulosis).

Tidak bahaya

Bakteria m. bovis tidak bahaya dan tidak menyebabkan kematian atau kecacatan. Virus itu memberi perlindungan daripada penyakit TB meningitis (selaput otak), TB miliari (akibat bakteria m. tuberkulosis) dalam kalangan kanak-kanak dan melindungi bayi daripada terkena penyakit kusta.

Puan perlu mendapatkan rawatan doktor jika anak ada mengalami benjolan. Kes seperti itu akan dirawat tertakluk keadaan dan perbincangan dengan pesakit, sama ada melakukan pembedahan atau diberi antibiotik untuk membunuh bakteria tersebut.

Sehingga kini, tiada kes kematian akibat bengkak kelenjar. Mereka sembuh dan hidup ceria.

Bagaimanapun, kesan tidak dijangka yang tidak bahaya seperti ruam, sakit tempat suntikan, parut, kemerah-merahan kulit kesan daripada suntikan vaksin yang diambil boleh berlaku.

SOALAN 2

Ketuat senang berjangkit jika tidak menjaga kebersihan

SEGERA berjumpa doktor untuk mengetahui sama ada ketuat yang tumbuh bahaya atau sebaliknya.
SEGERA berjumpa doktor untuk mengetahui sama ada ketuat yang tumbuh bahaya atau sebaliknya.

DOKTOR, saya ada masalah ketuat pada tangan. Saya mula mendapat ketuat apabila memecahkan ketuat pada tangan anak. Apakah ketuat boleh berjangkit dan ketika bila perlu berjumpa doktor? Apakah langkah pencegahan untuk mengelak ketuat tumbuh lebih banyak? - RISAU KETUAT, MAZLAN ABU BAKAR, 32, WAKAF BUNUT, KELANTAN.

JAWAPAN:

STATISTIK menunjukkan kanak-kanak dan remaja paling ramai dijangkiti ketuat.

Ketuat adalah daripada virus human papiloma. Ia mudah berjangkit mereka yang tidak menjaga kebersihan dan ketika berlakunya sentuhan antara satu sama lain.

Bagi orang dewasa, hanya tiga hingga lima peratus sahaja dijangkiti ketuat ekoran penjagaan kebersihan yang diamalkan.

Tuan, untuk mengetahui ketuat bahaya atau tidak, berjumpalah doktor untuk pengesahan. Kebiasaannya ia akan dinilai melalui rupa, saiz, lokasi, warna dan berapa lama ia tumbuh.

Terdapat pelbagai kes pesakit tumbuh ketuat perlu dirujuk kepada pakar kulit untuk tindakan lanjut dan ada pesakit yang tidak perlukan ubat. Ia akan baik dengan sendirinya dalam satu tempoh tertentu.

Paling awal, ketuat akan hilang dalam masa setahun, ada juga mengambil masa lima tahun untuk sembuh. Namun begitu, jangan pandang ringan.

Segera merujuk pakar kulit apabila berhadapan dengan situasi:

- Sangsi apabila ketuat yang tumbuh menjadi ketulan. Bentuk nampak agresif dan lain daripada biasa.

- Ketuat terletak pada muka atau kemaluan.

- Ketuat pada kemaluan boleh menjadi punca kanser.

- Terlalu banyak dan berangkai.

- Ketuat sakit, gatal, panas pedih atau berdarah tanpa sebab.

- Ketuat bagi penderita yang sistem imuniti badan rendah seperti pesakit HIV, kencing manis dan seumpamanya.

- Bagi mereka yang 'dihinggapi' ketuat, sebaiknya anda tidak mencucuk ketuat dengan jarum, mengorek, memotong atau garu dengan kuat bimbang ia akan bertambah teruk.

- Jangan juga memicit atau menyentuh ketuat orang lain kecuali memakai sarung tangan getah kerana ia boleh berjangkit.

- Sebaiknya sebelum membuang ketuat, jumpa doktor dahulu. Cara yang salah boleh menjadi punca berlakunya jangkitan silang atau pendarahan.

- Elak juga berkongsi tuala, selipar dan sebagainya kerana ketuat senang berjangkit terutama ketika kulit basah dan lembab.

- Ketuat senang berjangkit jika tidak menjaga kebersihan

Profil

DR Suhazeli
DR Suhazeli

Dr Suhazeli Abdullah merupakan Pakar Perundingan Perubatan Keluarga, Klinik Kesihatan Ketengah Jaya Dungun, Terengganu.