Tak sempat joli hasil rompakan!

No Image Caption
A
A
A

TELUK INTAN - Hajat seorang lelaki tempatan untuk menikmati hasil rompakan dianggarkan bernilai RM125,000 dari sebuah rumah di Taman Juta Intan, di sini tidak kesampaian apabila dicekup polis tidak sampai 24 jam pada 9 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzhuki Mohd Mokhtar berkata, pada jam lebih kurang 11.46 pagi, polis menerima aduan daripada seorang perempuan Cina yang menyatakan telah berlaku kejadian pecah masuk di rumah kediaman mangsa di Taman Juta Intan, di sini.

Menurutnya, pengadu melaporkan barang-barang didapati hilang adalah dua unit telefon bimbit, laptop, pelbagai barang perhiasan emas, wang tunai Malaysia dan mata wang asing.

"Anggaran kerugian yang dialami adalah RM125,000 dan berdasarkan kepada aduan ini, polis telah menjalankan siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

"Bertindak berdasarkan maklumat, pada hari sama jam lebih kurang 9.10 malam dan tidak sampai 24 jam, polis berjaya menangkap satu lelaki warga tempatan berumur 22 tahun yang disyaki melakukan kes pecah masuk di rumah mangsa," katanya kepada media di sini hari ini.

Mohd Marzhuki berkata, susulan itu, polis juga berjaya merampas kenderaan serta pakaian yang dipercayai digunakan suspek.

Menurutnya, suspek turut dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Hilir Perak untuk siasatan lanjut, seterusnya direman selama tujuh hari mulai 10 Ogos hingga 16 Ogos hadapan untuk siasatan penglibatan dalam kes-kes lain.

"Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai 2 rekod jenayah lampau.

"Ujian saringan awal air kencing turut dilakukan terhadap suspek dan didapati positif dadah jenis methamphetamine,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Marzhuki berkata, susulan kejayaan penangkapan suspek kes, IPD Hilir Perak terus mengharapkan kerjasama semua pihak untuk menyalurkan maklumat segera sekiranya berlaku sebarang kejadian jenayah di penempatan masing-masing.