Santuari gajah di Johor operasi awal tahun hadapan

Jimmy (dua dari kanan) ketika mengadakan lawatan di Kilang Zublin Precast, Kampung Lukut sempena siri lawatan kerjanya ke daerah ini semalam.
Jimmy (dua dari kanan) ketika mengadakan lawatan di Kilang Zublin Precast, Kampung Lukut sempena siri lawatan kerjanya ke daerah ini semalam.
A
A
A

KOTA TINGGI - Pusat santuari gajah Johor dijangka dapat beroperasi awal tahun hadapan susulan kerja-kerja bagi fasa pertama yang kini sudah 98 peratus siap.

Exco Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan Dan Utiliti, Jimmy Puah Wee Tse berkata, baki kerja yang perlu disiapkan hanya melibatkan pemasangan utiliti membabitkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Air Johor (SAJ).

"Ia akan selesai tidak lama lagi. Santuari ini amat-amat diperlukan. Saya difahamkan ada 70 ekor gajah di daerah ini dan yang mengganggu penduduk.

"Namun bukan salah mereka sebab itu kita kena carikan satu tempat sesuai untuk menempatkan mereka.

"Saya yakin isu utiliti akan diselesaikan segera. Kita jangka awal tahun depan dapat beroperasi dan boleh menempatkan gajah-gajah di sana sekiranya diperlukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di Kilang Zublin Precast, Kampung Lukut sempena siri lawatan kerjanya ke daerah ini semalam.

Pada lawatan berkenaan Jimmy turut melawat beberapa kawasan termasuklah santuari gajah Johor, air terjun Kota Tinggi dan beberapa lokasi lain.

Hadir sama, Pegawai Daerah Kota Tinggi, Farizal Ismail, Yang Dipertua Majlis Daerah Kota Tinggi, Saipol Rahman Amat, Pengurus Besar Invest Johor, Miswan Yunus.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai lawatan beliau ke kilang tersebut, Jimmy berkata, Zublin, sebuah kilang dari Jerman telah melabur hampir RM75 juta sejak tahun 2017.

"Kita harap kerjasama dengan pegawai daerah dan majlis daerah dapat tarik lebih banyak lagi pelabur bekualiti seperti Zublin yang bertaraf antarabangsa dari Jerman ini untuk melabur di Kota Tinggi.

"Pihak syarikat memaklumkan salah satu faktor mereka memilih Kota Tinggi kerana dekat dengan Johor Port mungkin harga lebih berpatutan berbanding Pasir Gudang dan Tanjung Langsat.

"Ini satu selling point baik untuk daerah ini bagi menarik lebih banyak pelabur dan kita akan gunakan point ini untuk lihat mana-mana syarikat sesuai boleh ditempatkan di daerah ini kita akan push," katanya lagi.