1,000 durian licin dalam dua jam

Program Cekoh Duyan di Dataran Kuala Ping, Hulu Terengganu menyediakan hampir 1,000 biji durian percuma kepada orang ramai. Gambar kecil Mohd Safari
Program Cekoh Duyan di Dataran Kuala Ping, Hulu Terengganu menyediakan hampir 1,000 biji durian percuma kepada orang ramai. Gambar kecil Mohd Safari
A
A
A

HULU TERENGGANU - Kira-kira 1,000 durian licin dalam tempoh dua jam selepas diserbu penggemar raja buah itu pada Program Cekoh Duyan di Dataran Kuala Ping semalam.

Pegawai Penyelaras Dun Telemong, Mohd Safari Abu berkata, program julung kali itu dijangka akan menjadi acara tahunan kerana mendapat sambutan masyarakat.

Menurutnya, makan durian percuma antara pendekatan mengeratkan ukhuwah dengan semua pihak.

"Kita juga harap konsep berkongsi rezeki daripada pekebun menjadi sedekah kepada masyarakat.

"Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dalam Dun Telemong mengumpulkan durian daripada pekebun. Alhamdulillah musim durian tahun ini menjadi," katanya.

Menurutnya lagi, pertandingan durian sedap dan durian cantik turut diadakan bagi memeriahkan program berkenaan.

"Dun Telemong menjadi pilihan penggemar durian dan antara yang laris ialah durian di Kampung Basung, Sekayu, Payang Kayu serta Kampung Baung kerana dikatakan kesedapannya berbeza.

"Faktor ini jugalah DUN Telemong menjadi daya tarikan kepada peminat durian khususnya daripada luar daerah atau negeri Terengganu," katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Program turut dimeriahkan dengan kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman dan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh.