60 pesawah resah enjin pengepam rosak

Mohd Rodzi (kiri) meninjau empangan Sungai Yong bagi memastikan enjin pengepam berfungsi dengan baik.
Mohd Rodzi (kiri) meninjau empangan Sungai Yong bagi memastikan enjin pengepam berfungsi dengan baik.
A
A
A

PASIR PUTEH - Seramai 60 pesawah di Bendang Bukit Yong, Wakaf Raja meminta pihak berkenaan menyelenggarakan pintu kawalan air di Empangan Sungai Yong dengan baik bagi mengelak masalah sawah kontang.

Wakil pesawah, Mat Taib Mat Hussin, 56 berkata, padi yang ditanam sebulan lalu memerlukan air yang cukup bagi membolehkan kerja meracun dilakukan.

Katanya, bendang itu kini bergantung kepada taburan hujan semata-mata.

"Sehari dua ada hujan, ada la air dalam sawah, jika berlaku kemarau selepas ini kami benar-benar mengharapkan bekalan air dari Empangan Sungai Yong.

"Masalah enjin rosak di empangan itu sudah lama berlaku, musim lepas pun kami berdepan masalah air tetapi sehingga sekarang pihak berkenaan gagal mengatasinya," katanya.

Menurutnya, dia sendiri mengusahakan 9.2 hektar dengan membuat pinjaman bank berjumlah RM5,000 untuk memulakan penanaman musim baharu.

Mat Taib berkata, lazimnya bendang itu menghasilkan tiga tan metrik padi untuk setiap 0.46 hektar yang mana setiap satu tan metrik bernilai RM1,300.

"Sawah tidak ada air akan menyebabkan padi mudah diserang penyakit dan sukar mengawalnya kerana kerja meracun memerlukan air," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gaal, Mohd Rodzi Jaafar yang menerima aduan pesawah meninjau empangan Sungai Yong semalam.

Katanya, pihak berkenaan akan menyelesaikan masalah enjin pengepam yang tidak berfungsi dengan baik.

"Saya berharap masalah ini diatasi segera kerana pesawah tidak mempunyai sumber air lain selain empangan Sungai Yong ini," katanya.