Kenapa permit kolam takungan tidak disambung?

Abd Nasir (tengah) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima di Surau Ubidiah Kampung Padang Che Mas sempena Aidiladha, Ahad lalu.
Abd Nasir (tengah) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima di Surau Ubidiah Kampung Padang Che Mas sempena Aidiladha, Ahad lalu.
A
A
A

BALING - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Abd Nasir Idris menggesa pihak berwajib menjelaskan punca sebenar permit kolam takungan penduduk di beberapa kampung dalam DUN Bayu tidak disambung.

Abd Nasir berkata, permit kolam takungan air bagi Kampung Weng dan Kampung Surau dalam DUN Bayu belum diluluskan sejak 2017 hingga kini.

Menurutnya, dua kolam takungan kampung berkenaan terletak di kompartmen 7 Hutan Simpan Rimba Teloi (HSRT).

"Pada 8 Oktober 2017, pihak penduduk telah menerima surat pembatalan permit daripada pihak tersebut.

"Masalah ini menyebabkan penduduk bimbang kemungkinan kawasan berkenaan akan diluluskan sebagai aktiviti pembalakan. Kita menuntut masalah ini diberikan penjelasan segera," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Abd Nasir berkata, ketiadaan kelulusan menyebabkan penduduk risau dituduh sebagai penceroboh di kawasan HSRT.

"Pihak berkenaan telah memulangkan semula wang pemprosesan RM100 kepada penduduk tanpa menjelaskan kedudukan sebenar isu tersebut.

"Majoriti penduduk di kawasan Weng, Tanjung Pari dan sekitar bergantung sepenuhnya kepada sumber air bukit. Begitu juga dengan sekolah, klinik kesihatan, balai polis dan masjid yang menggunakan sumber air yang sama," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, isu berkenaan telah dibangkitkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini namun beliau kesal ia tidak dijelaskan oleh wakil rakyat kerajaan.

"Jadi kita masih menunggu jawapan bertulis daripada mereka," katanya.

Pada 5 Julai lalu, Sinar Harian melaporkan isu sama yang membelenggu lebih 2,000 penduduk di Kampung Tanjung Pari dan Kampung Sri Ketengga.