Setahun sudah guna air parit!

Penduduk terpaksa bergantung pada air parit berhampiran kawasan penempatan mereka.
Penduduk terpaksa bergantung pada air parit berhampiran kawasan penempatan mereka.
A
A
A

KLUANG – Penduduk di Kampung Orang Asli Pucur, Kahang di sini memerlukan kos kira-kira RM20,000 bagi membaiki telaga tiub di kawasan mereka yang mengalami kerosakan sejak setahun lalu.

Batin Orang Asli Kampung Pucur, Semanggar Ahmad berkata, daripada keseluruhan kos tersebut, sebanyak RM15,000 akan digunakan untuk membaiki telaga tiub berkenaan manakala baki RM5,000 lagi akan digunakan untuk membaiki alat jana kuasa.

“Sekarang, 98 penduduk terdiri daripada 25 keluarga terpaksa menggunakan air parit tidak jauh dari kawasan tempat tinggal kami untuk membersihkan diri termasuk makan dan minum.

“Bagi membolehkan mesin pengepam air terus beroperasi menyedut air ke rumah seperti yang diperlukan, kami (penduduk) terpaksa membuat kutipan harian bagi menampung kos membeli minyak diesel,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, waktu malam pula, ada penduduk menggunakan alat jana kuasa bersaiz kecil yang hanya mampu menampung kegunaan antara dua hingga tiga rumah, manakala sebahagian daripadanya terpaksa bergantung pada pelita minyak diesel sebagai alternatif.

Selain itu katanya, sistem solar yang dipasang di kampung ini bagi membekalkan tenaga elektrik juga tidak dapat menampung kegunaan keseluruhan penduduk dan hanya mampu bertahan antara satu hingga tiga jam sebelum bekalan elektrik habis dan terpadam.

“Ketiadaan pihak yang datang membuat penyelenggaraan ke atas kedua-dua alat-alat ini menyebabkan ia rosak, malah kadangkala kami terpaksa menggunakan duit sendiri untuk baiki alat-alat ini sekiranya keadaan terdesak.

“Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy ada datang ke kampung ini, namun sehingga kini masalah yang ada masih tidak dapat diselesaikan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berharap mana-mana pihak yang bertanggungjawab ke atas kedua-dua peralatan ini dapat membaiki segera agar penduduk tidak lagi bergelap pada waktu malam selain mendapat bekalan air yang terjamin kebersihannya.