PPJ gesa Shu Qi mohon maaf

Amiruddin
Amiruddin
A
A
A

JOHOR BAHRU - Persatuan Penulis Johor (PPJ) berpendapat tulisan jawi digunakan dalam bahan bacaan lucah yang dibentangkan dalam dialog oleh Wong Shu Qi memperlihatkan Ahli Parlimen Kluang itu lebih suka kepada contoh yang negatif sekali gus memperlekeh tulisan orang Melayu.

Ketua Satunya, Amiruddin Md Ali Hanafiah berkata, pemimpin itu juga seolah-olah 'tidak tahu sejarah' sedangkan beliau merupakan seorang yang berpendidikan.

"Apakah Shu Qi tiada contoh lain yang lebih beradab dan bersopan? Sebagai contoh tulisan jawi turut digunakan di papan iklan walaupun dimiliki oleh syarikat perniagaan masyarakat Cina.

"Shu Qi juga sepatutnya lebih bermoral dalam menyampaikan pandangan apatah lagi menyentuh sensitiviti kaum khususnya orang Melayu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Amiruddin berkata, bagi PPJ isu tulisan jawi bukan isu politik tetapi lebih berkait kepada isu bangsa, warisan dan pendidikan.

"PPJ ingin mengucapkan terima kasih kepada individu yang merakamkan pembentang Shu Qi kerana memberi ruang kepada masyarakat mengetahuinya.

"Jika tidak dirakam dan disebarkan tentu masyarakat Cina khususnya yang menghadiri dialog tertutup akan mempercayai 'penghinaan' terhadap tulisan jawi dan hal ini amat tidak baik untuk sebuah negara pelbagai kaum," katanya.

Berikutan itu, beliau mahu wakil rakyat itu memohon maaf melalui mana-mana dialog dengan mengemukakan slide dan membantu kerajaan memperjelaskan penggunaan tulisan jawi di sekolah-sekolah.

Artikel Berkaitan:

"PPJ berpendapat jika tindakan ini tidak dilakukan, Shu Qi hanya lebih berminat menjadikan isu tulisan jawi ini sebagai batu loncatan meraih populariti untuk dirinya dalam kalangan masyarakat Cina.

"PPJ mahu martabat tulisan jawi yang diperlekeh oleh seorang yang tergolong dalam kelompok penggubal undang-undang perlu dihentikan," katanya.