Sayed Hyderali (tiga dari kiri) menyempurnakan Majlis Pelancaran Dana RM1 Sehari JMMNJ di Wisma JMMNJ di sini baru-baru ini.
A
A

JOHOR BAHRU - Inisiatif sumbangan RM1 sehari yang diusahakan kira-kira 900 ahli perniagaan daripada masyarakat Malabar di seluruh negara dijangka berupaya meningkatkan produktiviti golongan tidak berkemampuan di negeri ini.

Difahamkan, usaha digerakkan Jemaah Malabar Muslim Negeri Johor (JMMNJ) itu dilakukan secara berperingkat bagi tujuan pendidikan, perubatan dan penganjuran aktiviti keagamaan.

Presiden JMMNJ, Maidin Hussen berkata, pengagihan dana akan dilakukan dengan teliti agar diterima oleh golongan yang benar-benar layak.

“Mereka yang disasarkan untuk menerima bantuan ini ialah asnaf, individu sedang menjalani proses dialisis, pihak madrasah dan majlis keagamaan seperti sambutan hari raya serta maulidur rasul.

“Setakat ini kita telah berjaya mengumpul sebanyak RM324,000 sejak ia dimulakan pada bulan lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Pelancaran Dana RM1 Sehari JMMNJ di Wisma JMMNJ di sini baru-baru ini.

Majlis kemudian disempurnakan oleh Naib Presiden Samastha Kerala Jamiyyathul Ulama, Sayed Hyderali Shihab sambil disaksikan Penaung JMMNJ, Datuk Shahul Hamid Abdul Kadir.

Maidin berkata, berhasilnya program kebajikan itu adalah bukti jalinan ukhuwah dalam kalangan masyarakat dan penyumbang berketurunan Malabar.

“Dana RM1 sehari disalurkan 900 ahli perniagaan amat bermakna buat JMMNJ bagi menjayakan pelbagai program kemasyarakatan di seluruh Johor," katanya.

”Sebenarnya, usaha ini di peringkat awal pun sudah menerima sambutan dalam kalangan 700 ahli perniagaan di seluruh negara tetapi menjadi lebih ramai apabila ahli perniagaan dari Kerala, India turut menunjukkan minat untuk turut serta,” katanya.

Tambahnya, golongan yang menyumbang termasuk ahli Kerala Muslim Cultural Centre (KMCC) yang menjalankan perniagaan di negara ini.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia