'Komunis tembak tapi peluru tak keluar'

Abas (tengah) menerima kunjungan rakan veteran, Ainul Salleh (kiri) dan wakil Perkeba, Jhangir Khan Kathem Khan (kanan) di rumahnya di Kampung Surau.
Abas (tengah) menerima kunjungan rakan veteran, Ainul Salleh (kiri) dan wakil Perkeba, Jhangir Khan Kathem Khan (kanan) di rumahnya di Kampung Surau.
A
A
A

BALING - Senjata komunis gagal berfungsi menyelamatkan nyawa 10 Rejimen 303 Askar Wataniah dan ada antara mereka yang masih hidup sehingga kini.

Itu pengalaman yang masih diingati Abas Yusof, 65, seorang veteran tentera yang menetap di Kampung Surau di sini.

Abas berkata, insiden itu berlaku sekitar 1987 ketika operasi rondaan di kawasan Durian Burung, Padang Terap.

"Kejadian itu berlaku pada tengah hari Jumaat. Waktu itu kami seramai 10 orang sedang membuat rondaan bersama seorang pegawai. Dia budak Kelantan," katanya.

Menurutnya, ketika melakukan rondaan, salah seorang daripada mereka dapat merasakan sesuatu yang buruk akan berlaku.

"Dalam jam 12 tengah hari, tiba-tiba hujan panas. Seorang sarjan yang lebih tua meminta kami berwaspada. Katanya ada sesuatu akan berlaku.

"Ketika meneruskan rondaan, kami terjumpa organ dalaman biawak yang telah dikeluarkan," katanya yang membahasakan diri sebagai Pak Ngah.

Tambahnya, mereka kemudian meneruskan perjalanan, namun tiba-tiba bertembung dengan enam komunis bersenjata api.

Artikel Berkaitan:

"Salah seorang komunis cuba melepaskan tembakan dengan menyasarkan pegawai askar, namun cubaannya untuk menembak gagal sebab peluru tidak keluar," katanya.

Abas berkata, anggota komunis itu berjaya dibunuh askar di posisi perlindungan barisan depan yang segera melepaskan tembakan.

Bagaimanapun katanya, lima lagi komunis sempat melarikan diri dan melepasi sempadan Thailand.

Selain itu, Abas yang mula menyertai Askar Melayu pada 1981 turut berkongsi pengalaman melecur anggota badan akibat terkena air panas di Kem Gerik pada 1998.

"Pada hari itu, kami sedang menyambut Hari Batalion 304 selama tiga hari tiga malam. Pak Ngah ditugaskan untuk menanak nasi.

"Tugas itu sepatutnya dilakukan dua orang, tapi seorang lagi askar yang ditugaskan pergi ke tandas.

"Sewaktu cuba menuang beras ke dalam kawah berisi air sedang mendidih, air itu tersimbah ke arah Pak Ngah. Habis kulit kaki kanan, dua belah tangan dan bahagian badan melecur. Kulit waktu tu macam kulit ayam celur air panas," katanya.

Menurut Abas, kesan kecederaan itu masih ada hingga kini dan peristiwa itu antara pengalaman yang tidak dapat dilupakannya.

Abas yang pernah ditugaskan di Empangan Ahning Padang Terap ketika komunis masih berleluasa berharap generasi muda dapat menghargai nikmat keamanan yang dikecapi hasil perjuangan wira-wira negara.

Terdahulu, Abas dikunjungi Pertubuhan Kebajikan Penduduk Baling (Perkeba) dan salah seorang veteran askar.