Anjing peliharaan jadi mangsa 'gurauan' pelajar

Perbuatan seorang pelajar perempuan dari Dallas memasukkan anjingnya ke dalam mesin pengering pakaian undang kemarahan.
A
A

DALLAS - Seorang pelajar perempuan dari Dallas, Amerika Syarikat menimbulkan kemarahan ramai gara-gara memasukkan anjing peliharaannya ke dalam mesin pengering pakaian.

Dalam video yang dirakam menerusi Instagram Stories, pelajar terbabit memberitahu pengikutnya dia akan memasukkan anjingnya ke dalam mesin pengering dan haiwan tersebut menyukainya.

Dia kemudian memasukkan anjing baka Shih Tzu itu ke dalam pengering pakaian lalu menghidupkan mesin tersebut sambil ketawa dan menjerit.

Dia turut bertepuk tangan ketika anjing malang berkenaan berpusing di dalam mesin untuk beberapa ketika.

Anjing itu jelas kelihatan takut setelah dikeluarkan daripada mesin namun kebanyakan komen menunjukkan ramai yang terhibur dengan perbuatan tersebut.

Kegembiraan pelajar itu tidak bertahan lama apabila terpaksa memadam akaun Instagram miliknya setelah video terbabit tular di laman sosial Twitter dan Reddit.

Laporan mengatakan aduan telah dibuat kepada pihak polis dan persatuan haiwan berhubung insiden itu.- Agensi