Dijel 12 bulan ugut bunuh polis

Hamdi dipenjara setahun kerana mengugut bunuh anggota polis yang sedang bertugas.
Hamdi dipenjara setahun kerana mengugut bunuh anggota polis yang sedang bertugas.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Padah mengugut membunuh anggota polis dengan parang, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini.

Hukuman itu diputuskan Penolong Kanan Pendaftar, Noradila Ab Latif terhadap Hamdi Ramli, 34, yang mengaku bersalah atas dua pertuduhan disabitkan ke atasnya.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Hamdi didakwa melakukan ugutan jenayah dengan hendak menyebabkan kematian terhadap Ahmad Rafa’i Ishak di hadapan sebuah rumah di Kampung Banggol Tok Esah, Manir kira-kira jam 7.45 malam pada 23 November lalu.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Hamdi juga didakwa mengikut Seksyen 352 KK kerana melakukan kekerasan jenayah terhadap mangsa sama di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Noradila kemudian menjatuhkan hukuman 12 bulan penjara terhadap pertuduhan ugutan jenayah dan penjara tiga bulan atas kesalahan kekerasan jenayah, namun mahkamah mengarahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Zafirah Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, mangsa bersama dua rakan setugasnya pergi ke sebuah rumah di Kampung Banggol Tok Esah, Manir selepas menerima maklumat mengenai kes curi pisang.

Artikel Berkaitan:

Sebaik tiba di hadapan rumah berkenaan, anggota polis cuba menahan tertuduh namun dia bertindak mengeluarkan sebilah parang yang diselitkan di belakang badan dan mengacukannya ke arah anggota polis.

Tidak cukup dengan itu, dia juga mengeluarkan kata-kata kesat, sambil mengacukan parang dan mengugut mahu membunuh anggota polis berkenaan.