'Saya bangga dengan KLIA seperti tahun 1998'

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sewaktu pelancaran inisiatif KLIA digital dan buku keluaran khas oleh Malaysian Airport pada majlis Kuala Lumpur International Airport (KLIA) Turns 21: A Precious Legacy, Sepang di sini hari ini. - Foto ZAHID IZZANI
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sewaktu pelancaran inisiatif KLIA digital dan buku keluaran khas oleh Malaysian Airport pada majlis Kuala Lumpur International Airport (KLIA) Turns 21: A Precious Legacy, Sepang di sini hari ini. - Foto ZAHID IZZANI
A
A
A

SEPANG - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada majlis sambutan ulang tahun ke-21 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini berkata, beliau berbangga dengan lapangan terbang itu, sepertimana perasaan yang dialaminya pada 1998 semasa merasmikan pembukaan KLIA.

“Saya berasa bangga ketika itu kerana ia adalah realisasi sebuah impian dan janji. Saya berasa bangga hari ini kerana ia kini suatu realiti,” katanya ketika berucap pada sambutan ‘KLIA Genap 21 Tahun-Suatu Legasi yang Amat Berharga’ di sini hari ini.

Dalam ucapan itu, Dr Mahathir mengimbau kembali kenangan indah beliau tentang KLIA yang kini berkembang menjadi sebuah lapangan terbang serba canggih daripada asalnya sebuah ladang kelapa sawit di atas tanah gambut.

No Image Caption

“Sememangnya mengagumkan untuk menyaksikan ladang kelapa sawit bertukar wajah menjadi sebuah lapangan terbang yang begitu indah dan berupaya menjadi sebuah ikon. Ia adalah suatu keajaiban seni bina,” katanya.

Dr Mahathir turut merakamkan penghargaan beliau kepada mendiang Kisho Kurokawa, arkitek tersohor Jepun yang bertanggungjawab ke atas konsep ‘Lapangan Terbang di Dalam Hutan, Hutan di Dalam Lapangan Terbang’ KLIA.

“Pada mulanya tidak begitu, tetapi selepas 21 tahun, jelas ia adalah sebuah lapangan terbang dalam hutan dan hutan dalam lapangan terbang,” katanya.

Pada majlis hari ini, Perdana Menteri meninjau model skala asal KLIA yang diserahkan oleh Kisho Kurokawa Architect and Associates dan ia akan dipamerkan secara tetap di KLIA.

Artikel Berkaitan:

Pada sidang akhbar kemudian, Dr Mahathir ditanya tentang impian beliau bagi KLIA dan jawabnya, beliau tidak pernah terfikir tentang syarikat penerbangan tambang murah pada 1998 namun kini ia merupakan sebuah industri yang besar.

No Image Caption

“Pada masa depan mungkin kita (Malaysia) memerlukan lapangan terbang di angkasa. Siapa tahu. Dan anda akan menempuh perjalanan tiga jam ke London,” katanya, dan menambah, telah ada beberapa pihak yang mencadangkan supaya program seperti itu diwujudkan di Malaysia.

Ditanya tentang pertumbuhan dalam lingkungan 100 km persegi di kawasan KLIA, Dr Mahathir berkata terdapat banyak cadangan baharu yang diterima.

Setiap pesawat Boeing atau Airbus akan mempunyai komponen yang dibuat di Malaysia dan kami akan turut memperluaskan pengeluaran komponen ke bahagian lain.

"Jadi, terdapat potensi yang sangat besar untuk berkembang terutamanya bagi membina enjin. Kita (Malaysia) telahpun memasang dan melakukan kerja penyudah enjin itu yang kadang-kadang dibawa masuk dari Singapura tetapi kita melakukan kerja-kerja penyudah di sini,” katanya.

Ditanya tentang laporan berita baru-baru ini berhubung cadangan untuk mewujudkan rangkaian hubungan antara KLIA dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), Dr Mahathir berkata perkara itu masih belum dimuktamadkan.

Dilaporkan bahawa Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mungkin mempertimbangkan cadangan itu untuk memudahkan pergerakan penumpang dan bagasi mereka di KLIA dan klia2, terutamanya semasa berlaku kesesakan. - Bernama