Ditahan ketika leka berjudi di restoran

Dua lelaki ditahan polis selepas didapati bermain judi di tempat awam. - Foto PDRM
Dua lelaki ditahan polis selepas didapati bermain judi di tempat awam. - Foto PDRM
A
A
A

CHERAS - Dua lelaki yang sedang leka bermain judi atas talian menggunakan telefon pintar ditahan polis dalam dua serbuan berasingan di restoran di Taman Maluri di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras yang menerima maklumat berhubung kegiatan suspek berusia 47 tahun itu bertindak menahannya pada jam 2 pagi.

Menurutnya, ketika ditahan suspek sedang leka bermain judi dalam talian menggunakan telefon bimbit di restoran berkenaan.

“Polis merampas telefon bimbit manakala suspek dibawa ke IPD Cheras. Ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah dan direman dua hari untuk siasatan lanjut,” katanya.

Mokhsein berkata, seorang lagi merupakan lelaki warga Indonesia berusia 38 tahun yang ditahan pada jam 10 malam Sabtu lalu.

“Suspek yang sedang leka bermain ditahan bersama telefon bimbit digunakan untuk berjudi.

"Semakan mendapati suspek tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan direman 14 hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel Berkaitan: