Notis merah tangkap Jho Low, Nik Faisal masih berkuat kuasa

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa notis merah yang dikeluarkan Interpol terhadap ahli perniagaan Low Taek Jho, lebih dikenali sebagai Jho Low, dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd Nik Faisal Ariff Kamil masih berkuat kuasa sehingga kini.

Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKPj) Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rosli Husain, 54, berkata ini kerana kedua-dua individu masih belum ditangkap.

Notis merah itu yang dikeluarkan pada 11 Jun 2018 oleh Interpol melalui Biro Pusat Kebangsaan (NCB) Bukit Aman merupakan satu notis amaran bagi usaha mencari dan menangkap individu yang dikehendaki untuk kuasa kehakiman atau tribunal antarabangsa.

Ini bertujuan mengekstradisi mereka bersama-sama dua individu lain iaitu Mohammed Redzuan Adamshah dan Toh Lian Seng.

ARTIKEL BERKAITAN: SPRM dedah rakam percakapan Nik Faisal, Jho Low

Saksi ke-57 pendakwaan itu berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ishak Mohd Yusoff ketika pemeriksaan utama pada hari ke-52 perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

"Konsul Besar Malaysia di Hong Kong Datuk Tengku Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin turut menandatangani surat permohonan daripada Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia ketika itu bagi membatalkan pasport Jho Low.

"Tujuan surat itu adalah (bagi) membolehkan pihak berkuasa Hong Kong menangkap ahli perniagaan itu kerana memasuki negara berkenaan secara haram," katanya.

Artikel Berkaitan:

Saksi itu turut mengesahkan bahawa satu e-mel daripada NCB Bukit Aman telah dihantar ke pihak NCB Hong Kong bagi memohon pihak berkuasa Hong Kong menahan Jho Low dan seorang lagi individu, Eric Tan Kim Loong yang dipercayai berada di Maggie & Rose Family Members Club di Repulse Bay.

Bagaimanapun, menurut Rosli, pihak berkuasa Hong Kong tidak pernah menangkap mereka.

Rosli berkata, bagi mengesan Jho Low dan Nik Faisal, pihaknya telah membuat hebahan media namun tiada sebarang respons yang diterima.

Siasatannya juga mendapati Nik Faisal dan Jho Low tidak pernah kembali ke Malaysia sejak mereka keluar dari negara ini.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok. - Bernama