Pengiring Sultan Terengganu meninggal ketika latihan

Mangsa diberikan rawatan kecemasan oleh rakan-rakannya.
Mangsa diberikan rawatan kecemasan oleh rakan-rakannya.
A
A
A
KUALA TERENGGANU - Seorang anggota polis yang juga pengiring kepada Sultan Terengganu, meninggal dunia pagi tadi akibat sesak nafas selepas menjalani latihan kecergasan di Bukit Maras, Kuala Nerus.

Difahamkan, Koperal Azim Abd Majid, 34, meninggal dunia semasa menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, kira-kira jam 11 pagi.

Mengikut sumber, kejadian berlaku kira-kira jam 9 pagi tadi, semasa mangsa bersama beberapa rakan setugas dari Cawangan Keselamatan Istana menjalani latihan kecergasan di kawasan rekreasi berkenaan.

Bagaimanapun, semasa aktiviti pendakian berkenaan, mangsa mengadu sesak nafas sebelum rebah.

Rakan-rakannya kemudian memberikan bantuan kecemasan kepadanya, dan membuat panggilan kecemasan.

Bomba yang bergegas ke lokasi kejadian membantu menurunkan mangsa dan dibawa ke HSNZ untuk menerima rawatan lanjut, sebelum disahkan meninggal dunia.

Difahamkan, mangsa berkhidmat sebagai anggota pengiring rapat Sultan Terengganu, dari Cawangan Keselamatan Istana, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Superintendan Suffian Sulaiman ketika dihubungi, mengesahkan kejadian berkenaan dan mengklasifikasikannya sebagai mati mengejut.

Mangsa meninggalkan seorang balu dan 3 orang anak.
Artikel Berkaitan: