X

Kindly register in order to view this article
!

Dong Zong perlu beri penjelasan

Abu Bakar Yahya
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) didesak memberikan penjelasan di sebalik pendirian mereka menentang pelaksanaan tulisan jawi dan seni khat di sekolah dengan mengaitkan ia sebagai bentuk Islamisasi.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Abu Bakar Yahya berkata, tindakan Dong Zong merancang membuat petisyen menolak pelaksanaan usaha berkenaan adalah tidak berasas, selain menimbulkan prasangka dan kebencian antara kaum di negara ini.

Menurutnya, sebagai sebuah persatuan yang mewakili institusi pendidikan vernakular, Dong Zong sepatutnya cukup memahami bahawa tulisan jawi dan khat itu adalah sebahagian daripada pembelajaran Bahasa Melayu, yang merupakan bahasa rasmi Persekutuan serta bahasa perpaduan semua kaum di Malaysia.

“Usaha kerajaan itu tidak ada sangkut-paut dengan penyebaran agama Islam kepada pelajar bukan Islam sebagaimana yang cuba dimomokkan Dong Zong.

"Bagaimanapun, Dong Zong memilih untuk bersikap rasis dalam isu ini (tulisan jawi dan seni khat) dan menolak sejarah serta nilai Bahasa Melayu itu sendiri. Malah, Dong Zong seolah-olah cuba menghasut bukan Melayu kononnya langkah itu merupakan satu bentuk Islamisasi.

"Pada pandangan saya, sikap Dong Zong seolah-olah cuba menggagalkan matlamat memupuk perpaduan kaum di negara ini. Jika tidak, wajar bagi Dong Zong memberikan penjelasan sebenar di sebalik tindakan mereka itu," katanya di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Dong Zong sebagai rasis kerana tidak pernah bersetuju dengan apa jua keputusan kerajaan.

Menurut Dr Mahathir, Dong Zong sejak dahulu lagi sering membantah termasuk ketika kerajaan mewujudkan Sekolah Wawasan yang menggabungkan Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Dalam perkembangan lain, Abu Bakar yang juga Setiausaha Politik kepada Dr Mahathir turut membidas kenyataan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago yang yang menuduh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya membuat keputusan bersendirian berkaitan dengan pentadbiran kerajaan termasuk dalam isu tulisan jawi dan khat di sekolah.

Katanya, tindakan Charles itu bukan sahaja tidak bertanggungjawab tetapi turut menunjukkan dirinya gagal memahami cara pentadbiran kerajaan, yang mana sebarang keputusan adalah melalui mesyuarat Jemaah Menteri.

"Malah di peringkat parti pula, sesuatu keputusan dibincang dan diputuskan melalui mesyuarat Majlis Pimpinan Presiden Pakatan Harapan. Mengapa beliau (Charles) tidak buat kajian atau merujuk kepada pimpinan DAP terlebih dahulu sebelum membuat tuduhan semberono terhadap Perdana Menteri?

"Bagi saya, tindakan beliau itu amat biadab. Beliau perlu memohon maaf kepada Perdana Menteri," katanya.

Untuk rekod, Charles dalam satu catatan di laman Facebook rasminya semalam dilapor menuduh Perdana Menteri seolah-olah membuat keputusan secara bersendirian walaupun datang dari parti yang dikira minoriti dalam Pakatan Harapan.