Kit Siang kata Dr Mahathir salah label Dong Zong rasis

A
A

Kit Siang kata Dr Mahathir salah label Dong Zong rasis

Penasihat DAP, Lim Kit Siang menegaskan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) sebagai rasis adalah tidak benar.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu juga menegaskan Dong Zong juga salah apabila mendakwa tindakan kerajaan memperkenalkan tulisan jawi di sekolah sebagai satu bentuk gerakan Islamisasi.

Menerusi satu kenyataan hari ini, kata Kit Siang, susulan perkara itu, kedua-dua insiden itu menimbulkan salah tafsir untuk pelaksanaan pembelajaran tulisan khat berkenaan.

Selain itu, Kit Siang menolak wujudnya 'teori konspirasi' bahawa isu yang menjadi kontroversi itu dicipta oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik atau Perdana Menteri bagi tujuan politik tertentu.

Sebaliknya kata beliau, kontroversi subjek itu adalah warisan dari kerajaan lama kerana keputusan muktamad mengenai buku teks baharu untuk sekolah rendah Cina dan Tamil untuk memperkenalkan subjek khat berkenaan telah dibuat oleh Jawatankuasa Kurikulum Kementerian Pendidikan yang dipengerusikan oleh Menteri Pendidikan dan dua Timbalan Menteri pendidikan dalam satu mesyuarat pada 30 September 2015.

Tun M malu tandas Malaysia kotor, busuk

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berasa malu dengan keadaan tandas awam di Malaysia yang tidak bersih dan busuk sekali gus mencerminkan sikap rakyat Malaysia tidak mempunyai kesedaran sivik yang tinggi.

Dr. Mahathir berkata, Malaysia juga berdepan masalah sivik dalam kalangan masyarakat yang melakukan pelbagai perkara tidak baik seperti membuang sampah merata-rata dan mencuri air, paip, elektrik serta lampu-lampu jalan.

Menurut Dr. Mahathir, ketika ini, usaha mendidik dalam bidang sivik menjadi satu perkara yang penting kerana ia mempungai hubung kait dengan kehidupan masyarakat dalam menyumbang kepada kebaikan dan kesejahteraan.

Sehubungan itu, Dr. Mahathir berharap, pendidikan sivik yang diperkenalkan di sekolah sejak Jun lalu akan membentuk masyarakat dan individu di Malaysia yang bertanggungjawab, prihatin, bertimbang rasa terhadap pihak lain.

1MDB: Najib gagal tangguh prosiding

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak gagal untuk menangguhkan prosiding perbicaraan kes 1MDB selepas selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhirnya.

Lima panel hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara memutuskan keputusan mahkamah tinggi yang menolak penangguhan tersebut adalah betul.

Menurutnya, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah tidak terkhilaf dalam menjalankan budi bicara kehakimannya di bawah Seksyen 259 Kanun Prosedur Jenayah

Sebelum ini Mahkamah Tinggi menetapkan tarikh perbicaraan pada 19 Ogos hingga 29 Ogos depan yang kemudian akan bersambung sepanjang September serta Oktober hingga 14 November.

Tiada bukti Zakir Naik pengganas: Musa Hassan

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan tegas menyangkal pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik sebagai seorang pengganas seperti didakwa sesetengah pihak.

Menurutnya, Zakir hanya pakar dalam bidang perbandingan agama antara Islam dan agama-agama lain, tidak ada satu perkara yang membuktikan beliau seorang pengganas.

Menurut bekas Ketua Polis Negara itu lagi, di bawah undang-undang ekstradisi suatu permohonan boleh ditolak jika wujud keadaan seperti pendakwaan bersifat politik disebabkan ras, agama, kerakyatan dan fahaman politik.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah menyatakan pendirian tegas untuk tidak melaksanakan proses ekstradisi terhadap Zakir.

Pemandu e-hailing, teksi tak carum Perkeso akan didenda

Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso Mohammed Azman Aziz mengumumkan pegawai penguat kuasa akan mengeluarkan kompaun kepada pemandu teksi dan perkhidmatan e-hailing yang masih belum mendaftar Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.

Beliau berkata bilangan pemandu yang mendaftar untuk skim itu masih rendah.

Sehingga hari ini katanya, hanya 50,801 pemandu mendaftarkan diri untuk skim itu daripada hampir 300,00 pemandu e-hailing dan teksi.

Bagaimanapun, katanya, Perkeso tidak berniat menyusahkan pemandu, tetapi hanya untuk memastikan kebajikan mereka dan keluarga.

Beliau berkata masih ada masa untuk pemandu mendaftar dan menyumbang secara sukarela kepada Perkeso.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia