Pembakaran terbuka dipercayai punca jerebu di Kota Kinabalu

Pemandangan Tamparuli sebahagiannya diselubungi jerebu berpunca perbuatan segelintir penduduk melakukan pembakaran secara terbuka yang dirakam dari puncak Bukit Ruhiang Tamparuli lewat petang semalam. - Foto BERNAMA
A
A

TAMPARULI - Hampir keseluruhan kawasan daerah ini dan sekitarnya mula diselubungi jerebu dipercayai berpunca pembakaran secara terbuka yang dilakukan penduduk setempat sejak seminggu lepas.

Tinjauan Bernama dari Bukit Ruhiang di sini iaitu bukit puncak tertinggi di daerah ini mendapati laluan utama dari Kota Kinabalu-Tamparuli kelihatan samar-samar akibat diselubungi asap.

Bagaimananpun, jarak penglihatan bagi pemandu dianggarkan melebihi 10 kilometer dan kualiti udara masih berada pada tahap sederhana.

Cuaca panas turut menyumbang jerebu di daerah ini berikutan sebilangan penduduk setempat masih melakukan aktiviti pembakaran secara terbuka.

Tinjauan juga mendapati kegiatan riadah seperti bola sepak, mendaki bukit dan joging masih berjalan seperti biasa walaupun kualiti udara sedikit tercemar oleh jerebu.

Lima daerah di Sabah iaitu Sandakan, Kota Kinabalu, Kimanis, Keningau dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan berada pada tahap sederhana petang ini.

Bacaan IPU di Sandakan 55, Kimanis (56), Keningau (58), Kota Kinabalu (60) dan WP Labuan 69. - Bernama