Jawapan Shu Qi tak munasabah, memalukan

Khairul Faizi Ahmad Kamil
Khairul Faizi Ahmad Kamil
A
A
A

JOHOR BAHRU - Penggunaan buku lucah atau medium pornografi untuk menyampaikan penjelasan sebagai pendekatan ‘tidak serius’ disifatkan sebagai alasan yang tidak munasabah dan memalukan.

Kenyataan itu disuarakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil sekali gus membidas penjelasan Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi kerana menggunakan medium berkenaan untuk menerangkan dengan lebih ringkas mengenai tulisan jawi kepada masyarakat Cina di Kluang baru-baru ini.

Khairul Faizi turut mempersoalkan mengapa pemimpin berkenaan bersetuju memilih untuk menggunakan medium pornografi dan adakah dengan cara itu sahaja ia dapat memberi penerangan terbaik kepada masyarakat Cina?

“Adakah anda (Shu Qi) ingin menyatakan bahawa masyarakat Cina sukar untuk faham apabila diberikan contoh-contoh lain seperti dokumen lama kerajaan? Adakah mereka sukar faham atau beliau yang sukar untuk meyakinkan mereka?

“Saya tidak percaya bahawa kaum Cina tidak faham sekiranya mereka diberikan penjelasan dengan sebaiknya. Melihat kepada penjelasan Ahli Parlimen ini, secara tidak langsung dirinya telah menghina kaum Cina di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, Khairul yang juga bekas Yang Dipertua PAS Kluang berpendapat kenyataan dikeluarkan Shu Qi berhubung isu berkenaan adalah tidak relevan dan untuk menutup kelemahan dirinya sahaja.

“Pada pandangan saya, Shu Qi sebenarnya yang gagal memberi penjelasan dengan baik dan akhirnya menggunakan contoh tidak sensitif sehingga menggores hati orang Melayu di Malaysia.

“Beliau perlu membuat permohonan maaf di atas tindakannya itu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Shu Qi menjelaskan dirinya menggunakan pendekatan berkenaan untuk memberi penerangan terhadap kekeliruan masyarakat Cina berhubung tulisan jawi dengan cara lebih mudah.

Menurutnya, tidak salah bagi dirinya untuk menggunakan contoh sedemikian kerana ia berjaya mengubah persepsi masyarakat Cina yang selama ini menganggap tulisan jawi hanya untuk agama Islam.