Mayat ditemui ketika misi mencari Nora Anne

Suasana sekitar lokasi kejadian hari ini.
Suasana sekitar lokasi kejadian hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMASKINI] Polis mengesahkan penemuan satu mayat perempuan berkulit putih dalam keadaan masih sempurna lebih kurang dua kilometer dari lokasi gadis Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, menginap di sini.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, polis menerima maklumat daripada seorang lelaki berhubung penemuan mayat itu jam lebih kurang 1.57 petang.

"Pasukan polis bergegas ke lokasi dan nyata terdapat satu mayat perempuan namun belum dapat disahkan mayat itu milik siapa.

"Ketika ini pasukan Forensik dan Jabatan Patologi sedang membuat pengesahan mayat itu milik Nora Anne Quoirin ataupun sebaliknya," katanya ketika ditemui media di lokasi kejadian petang ini.

Terdahulu, pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) kelihatan bergegas ke lokasi penginapan gadis Ireland yang hilang sejak 4 Ogos, Nora Anne Quoirin, 15 di The Dusun Hill ketika ini selepas polis menjumpai satu mayat.

Turut kelihatan di lokasi, polis memasang garisan kuning yang tertera garisan polis.

Selain polis, pengamal media juga mula mengerumuni lokasi sejak jam 2.30 petang tadi menanti sebarang pengumuman rasmi daripada pihak polis.

Manakala keluarga gadis itu dilihat baru memasuki lokasi menaiki sebuah kereta sekitar jam 4.15 petang.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Pencarian Nora Anne masuk hari ke-10 hari ini