Harga minyak sawit turun, tidak jejas operasi Johor Port

Shahrull Allam (dua, kanan) bersama Hassan (tiga, kanan) ketika menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima pada program berkenaan.
Shahrull Allam (dua, kanan) bersama Hassan (tiga, kanan) ketika menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima pada program berkenaan.
A
A
A
JOHOR BAHRU - Trend penurunan harga minyak sawit mentah (MSM) tidak menjejaskan operasi dan stardart Pelabuhan Johor (Johor Port) selaku terminal penyimpanan minyak sawit terbesar di dunia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shahrull Allam Shah Abdul Halim berkata, pihaknya juga tidak mengalami sebarang masalah berhubung perkara itu termasuk penarikan diri daripada syarikat minyak yang menggunakan fasiliti di sana.

“Di Johor Port kita jalankan aktiviti pelabuhan yang pelbagai, antaranya berperanan sebagai terminal minyak boleh dimakan (edible oil). Kita ada kemudahan untuk menyimpan hampir 500,000 tan metrik minyak yang menjadikan kita terminal minyak sawit terbesar di dunia.

“Secara tahunan kita kendalikan kira-kira 5 juta metrik tan minyak sawit. Ia juga berlaku semasa penurunan harga minyak ini, jadi setakat ini kami lihat tiada impak yang besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa hadir pada Program Jom ke Sekolah anjuran Johor Port, di sini, hari ini. Hadir sama, Ahli Parlimen Pasir, Hassan Abdul Karim.

Shahrull Allam berkata, situasi berkenaan tidak memberikan impak yang besar memandangkan pelabuhannya turut terbabit dengan aktiviti perdagangan yang aktif.

“Selain menyimpan minyak (sawit), kita juga menjana hasil di bawah Chicago Mercantile Exchange yang mana kita turut menjalankan aktiviti perdagangan minyak sawit.

“Dengan fasiliti yang kita ada ini, kita boleh buat aktiviti perdagangan dan dari situ dapat membantu kita untuk terus berkembang,” katanya.

Pada program itu, seramai 100 pelajar kurang berkemampuan dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Putih, Persatuan Kebajikan Al Zarafee Negeri Johor dan anak kepada kakitangan Johor Port telah menerima bantuan kewangan dan peralatan persekolahan bernilai RM150 setiap seorang.
Artikel Berkaitan:


Program yang juga tanggungjawab sosial korporat syarikat itu adalah bertujuaan meringankan beban kewangan keluarga berpendapatan rendah dalam menyediakan peralatan persekolahan bagi sesi akademik 2019.