Penduduk orang asli Gua Musang mahu perubahan

Kampung Hendrop masih tidak mempunyai bekalan elektrik.
Kampung Hendrop masih tidak mempunyai bekalan elektrik.
A
A
A

GUA MUSANG - Kerajaan hari ini dilihat tidak komited membantu orang asli khususnya di Gua Musang.

Aktivis orang asli, Nasir Dollah mendakwa tiada perubahan dan pembangunan untuk masyarakat di pedalaman selepas lebih setahun memerintah.

Menurutnya, pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) sepatutnya memperkuatkan jentera di negeri yang diperintah pembangkang seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang.

"Masih banyak kawasan di pedalaman Gua Musang yang tidak dilengkapi dengan perhubungan yang baik, bekalan elektrik, sekolah dan sumber ekonomi.

"Ini menunjukkan tidak kesungguhan ke arah menepati manifesto PH khususnya untuk orang asli pada janji yang ke-38.

"Adakah PH telah berusaha ke arah itu dan bila perlu dilaksanakan? Sebagai bekas calon PRU14 mewakili orang asli, sejujurnya saya malu kerana tidak mampu membantu kaum saya sendiri yang mahu perubahan," katanya.

Nasir juga tidak menafikan BN banyak membantu masyarakat orang asli walaupun tidak menyeluruh.

Artikel Berkaitan:

Laluan ke pos pedalaman masih teruk dan memerlukan pembangunan. (Gambar kecil: Nasir)
Laluan ke pos pedalaman masih teruk dan memerlukan pembangunan. (Gambar kecil: Nasir)

"Walaupun kerajaan perlu menghadapi hutang negara yang terlalu tinggi tetapi kemudahan untuk orang asli tidak boleh diperkecilkan.

Bagi Ketua Kampung Pos Hendrop, Bidi Ronggeng, biarpun kawasan kampungnya berada di pinggir laluan utama namun mereka masih belum menikmati bekalan elektrik.

"Kita sebagai rakyat tidak mahu tengok kereta terbang mahupun siapa Perdana Menteri seterusnya tetapi bantuan yang diperlukan untuk rakyat.

"Kami memerlukan bekalan elektrik. Lebih setahun memerintah kami tidak menikmati kemudahan sepatutnya," katanya.

Bagi penduduk Pos Balar, Anjang, 78, sebagai penduduk yang paling tua di kampung berkenaan dia juga mahu melihat sistem perhubungan yang selesa untuk ke bandar.

"Kampung kami terletak 90 kilometer dari bandar Gua Musang dan perlu melalui jalan balak. Jika musim tengkujuh kami semua akan terkandas dan tidak boleh keluar dari kampung.

"Kami perlu melewati perjalanan lebih 10 jam jika jalan rosak," katanya.