Suri rumah rugi RM35,330 ditipu 'scammer'

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Akibat melayan panggilan individu tidak dikenali, seorang suri rumah terpaksa menanggung kerugian RM35,330 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan Macau Scam sejak Julai lalu sehingga semalam.

Kejadian berlaku selepas mangsa, 41, dari Bukit Payong, Marang, menerima panggilan daripada seorang lelaki tidak dikenali memperkenalkan diri sebagai Pembantu Am Mahkamah Majistret Labuan, Sabah.

Menurut sumber, mangsa diberitahu yang dia mempunyai tunggakan kad kredit sebuah bank di Labuan berjumlah RM8,450 dan telah melebihi tempoh enam bulan.

Sumber berkata, seterusnya mangsa diminta hadir ke Mahkamah Labuan pada jam 3 petang, 16 Julai lalu sebelum mangsa memaklumkan yang tidak dapat hadir kerana berada di Terengganu.

"Talian mangsa terus disambungkan kepada seorang lelaki lain yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Osman Abdul Kadir, Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Daerah (IPD) Labuan sebelum mengarahkan mangsa agar membuat laporan polis segera melalui telefon terlebih dahulu.

"Dua hari kemudian, mangsa menerima panggilan daripada Sarjan Osman memberitahu nombor kad pengenalannya dikenalpasti terlibat dengan kes penggubahan wang haram di sekitar Labuan dan seorang suspek dikenali Louis Tan mengaku mangsa ada menjual akaun bank peribadi kepadanya untuk digunakan dalam jenayah berkenaan.

"Tergamam mendengar makluman itu, mangsa terus bersetuju memindahkan kesemua wang di dalam akaun miliknya kepada nombor akaun diberikan kononnya milik 'Juru Audit Negara' kerana wang di dalam akaun peribadinya akan dibekukan dalam tempoh terdekat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelas sumber, tanpa berfikir panjang, mangsa mengosongkan wang simpanan di dalam beberapa akaun bank miliknya dengan melakukan lebih 10 transaksi wang yang berjumlah keseluruhan RM35,330 ke dalam akaun bank diberikan kepadanya sebelum itu.

Artikel Berkaitan:

Kata sumber, selesai berbuat demikian, pada Rabu lalu, sekali lagi mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang perempuan memperkenalkan diri sebagai Koperal Arissa Sulaiman dari Cawangan Trafik IPD Kuala Terengganu.

"Mangsa diberitahu ada seorang lelaki menggunakan kad pengenalannya untuk menyewa sebuah kereta sebelum kenderaan tersebut terlibat dalam kemalangan langgar lari yang menyebabkan seorang pejalan kaki maut.

"Kemudian talian itu disambungkan ke IPD Seri Kembangan untuk mangsa membuat laporan kerana dokumennya disalahguna oleh pihak luar," katanya.

Jelas sumber, namun semasa proses pembatalan dakwaan dan konon untuk membersihkan namanya, baharu mangsa menyedari dirinya sudah terperangkap dengan helah sindiket penipuan sebelum mengambil keputusan membuat laporan polis.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Deputi Superintendan Hamdan Zali ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian yang dibuat di Balai Polis Kuala Terengganu, di sini, semalam.

Jelasnya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.