Gudang pakaian terpakai terbakar

Operasi pemadaman kebakaran gudang seluas 1.4 hektar itu giat dijalankan sejak semalam.
Operasi pemadaman kebakaran gudang seluas 1.4 hektar itu giat dijalankan sejak semalam.
A
A
A

HULU SELANGOR - Seramai 23 anggota dari enam balai bomba dan penyelamat (BBP) bertungkus-lumus memadam kebakaran sebuah gudang menyimpan pakaian terpakai di Bukit Sentosa sejak 24 jam lalu.

Balai bomba terbabit ialah BBP Bukit Sentosa, Rawang, Kuala Kubu Bharu, Selayang, Petaling Jaya dan Batu Arang serta dibantu pasukan Bomba Sukarela Bandar Tasik Puteri (BTP).

Ketua BBP Bukit Sentosa, Penolong Peuasa Shahrin Jasmi berkata, bomba menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 2.21 petang semalam.

Menurutnya, kawasan kebakaran dianggarkan seluas 1.4 hektar dan operasi pemadaman menggunakan kaedah pancutan air secara terus ke punca api.

"Kebakaran berjaya dikawal dan kini usaha pemadaman membabitkan bahan pakaian terpakai sedang giat dilakukan. Terdapat juga barangan getah yang menyukarkan pasukan bomba memadamkan kebakaran.

"Bagaimanapun katanya, keadaan terkawal dan bomba membuat fire break di lokasi kejadian yang berhampiran dengan sebuah kilang dan tangki simpanan air milik Syabas," katanya.

Sementara itu Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor memberitahu, skuad unit berkenaan membuat pemantau udara dan darat di lokasi dan mendapati masih terdapat kebakaran serta kepulan asap tebal.

"Cuaca di lokasi panas dan berangin. Keseluruhan operasi dengan kekuatan 32 anggota termasuk bomba, polis, Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dan Syabas," katanya.

Artikel Berkaitan: