Rayuan ditolak: Inspektor kekal dipenjara enam tahun

Mohd Izwan yang dibawa keluar dari pekarangan mahkamah.
Mohd Izwan yang dibawa keluar dari pekarangan mahkamah.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini mengekalkan hukuman penjara enam tahun terhadap seorang anggota polis berpangkat inspektor selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan rasuah bernilai RM25,000 tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Mohd Izwan Jamaluddin, 36, terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada 25 Febuari 2018.

Mohd Izwan yang sebelum ini bertugas sebagai Inspektor Penyiasat Narkotik G di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Hulu Terengganu dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM125,000 selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Beliau bagaimanapun gagal menjelaskan denda dan perlu menjalani hukuman penjara tambahan 36 bulan lagi menjadikan keseluruhannya enam tahun penjara.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa secara rasuah menerima suapan wang tunai bernilai RM5,000 daripada Syahrull Sharahudeen sebagai dorongan untuk tidak menangkap Syahrull yang disyaki terbabit kesalahan dadah mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Dia didakwa melakukan kesalahan berkenaan di belakang restoran KFC di Kuala Berang, Hulu Terengganu kira-kira jam 6.25 petang, 20 Ogos 2015.

Bagi kesalahan itu, Hakim Mohamad Haldar Abd Aziz menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM25,000 serta tambahan 12 bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan kedua pula, dia didakwa secara rasuah meminta suapan bernilai RM20,000 daripada Syahrull yang disyaki terbabit kesalahan dadah sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap Syahrull.

Artikel Berkaitan:

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah beralamat di Kampung Durian Kassim, Ajil, Hulu Terengganu, kira-kira jam 8 malam, pada 15 Ogos 2015.

Bagi kesalahan itu, dia dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM100,000 serta tambahan 24 bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda itu.

Bagaimanapun, Mohamad Haldar memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Fadly Mohd Zamry manakala Mohd Izwan diwakili peguam Datuk Amirul Ridzuan Haniff.