Dong Zong patut sedar diri: Wirawati Putra

A
A

KUALA LUMPUR – Sudah tiba masanya untuk Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan pemimpin bukan Melayu yang membangkang tulisan jawi tampil memohon maaf kepada rakyat Malaysia, gesa Ketua Wirawati Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Dr Asmah Razalli.

Katanya, Dong Zong sebagai sebuah pertubuhan tumpangan daripada pendidikan kebangsaan seharusnya lebih sensitif terhadap majoriti rakyat Malaysia dan sedar diri kerana gahnya sekolah-sekolah vernakular di negara ini adalah kerana ihsan majoriti serta para pemimpin yang baik budi.

“Tiba masanya Dong Zong dan pemimpin bukan Melayu yang keras membangkang pengenalan tulisan jawi memohon maaf kepada rakyat negara ini dengan menjadi lebih bertolak ansur dan tidak terlalu sombong.

ARTIKEL BERKAITAN: PM anggap Dong Zong rasis

“Segala penghinaan, provokatif terhadap seni khat dan tulisan jawi mahupun agama Islam sebagai agama Persekutuan adalah satu penghinaan yang melampaui batas norma perpaduan, perkara ini tak patut diterima langsung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Asmah menambah, Dong Zong sebagai persatuan sekolah-sekolah persendirian Cina perlu berterima kasih kepada pemimpin terdahulu selepas kemerdekaan yang cukup berbudi bahasa dan bertolak ansur kerana begitu baik hati membenarkan sekolah vernakular bebas ditubuhkan dengan bantuan dan dana persendirian untuk menjaga warisan bangsa dan budaya bangsa Cina.

“Sekolah vernakular bukanlah tanggungjawab bahkan tidak termaktub di dalam sistem aliran pendidikan kebangsaan jadi segala bentuk pendidikan vernakular yang kini berkembang pesat adalah atas budi bicara kerajaan dan tolak ansur pendidikan negara.

“Dong Zong mungkin terlupa sistem pendidikan sekolah vernakular subur kerana rakyat Malaysia yang begitu bertoleransi, hormat-menghormati, inilah adalah asas perpaduan Malaysia dan hendaklah diteruskan,” katanya.

Dakwanya, sebab utama kewujudan sekolah vernakular dalam serpihan pendidikan Malaysia hanyalah ingin menjaga hati, warisan, bahasa dan budaya kaum yang datang ke Malaysia supaya tidak lapuk ditelan zaman.

Tegasnya, adalah sangat logik jika kerajaan ingin mengekalkan warisan bangsa iaitu penulisan jawi yang tiada langsung kena mengena dengan agama Islam.

“Mengapa Malaysia serta orang Melayu yang sekian lama bertolak ansur dan berhemah dengan warisan dan budaya lain boleh bertoleransi dengan segala sistem vernakular tetapi sebuah kumpulan minoriti dengan sombongnya boleh menolak mentah-mentah warisan budaya masyarakat negara ini.

“Islamofobia juga tidak sesuai dijadikan alasan bertentangan dengan kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan,” kata Asmah.

Ujarnya, Malaysia sebagai negara majmuk meraikan perbezaan kaum dan sifat toleransi ini perlu dimulakan sejak kecil dan harus dipupuk oleh pendidik serta pemimpin berbilang kaum.

“Sudah tiba masanya kewujudan mereka yang cuba bersifat rasis terhadap warisan bangsa dan dasar pendidikan negara dikaji kehadirannya di bumi bertuah ini.

“Dong Zong belajarlah berterima kasih kerana sistem terbaik untuk perpaduan dan pendidikan mana-mana negara di dunia adalah sistem pendidikan satu aliran,” katanya.

Asmah menambah, Wirawati Putra mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana mengatakan Dong Zong bersifat rasis.

“Wirawati Putra ingin mengucapkan tahniah kepada Dr Mahathir kerana kembali sedar menyatakan fakta yang cukup bernas dan jujur,” katanya.