Video polis Rusia pukul penunjuk perasaan wanita disiasat

Insiden seorang anggota polis rusuhan Rusia menumbuk perut seorang penunjuk perasaan wanita cetus kemarahan ramai. - Foto The Moscow Times
Insiden seorang anggota polis rusuhan Rusia menumbuk perut seorang penunjuk perasaan wanita cetus kemarahan ramai. - Foto The Moscow Times
A
A
A

MOSCOW - Kementerian Dalam Negeri Rusia semalam dilaporkan membuka siasatan berhubung video tular menunjukkan seorang anggota polis rusuhan menumbuk perut seorang wanita ketika protes menuntut pilihan raya bebas.

Video berkenaan yang ditonton lebih 360,000 kali menunjukkan seorang wanita muda diheret empat anggota polis berpakaian anti rusuhan dan salah seorang daripada mereka dilaporkan menumbuk perut mangsa tanpa sebarang sebab jelas.

Insiden terbabit mencetuskan kemarahan dalam rangkaian media sosial.

Sementara itu, dalam temuramah bersama laman web Mediazona, Daria Sosnovskaya, 26, berkata, dia diheret oleh polis kerana membantah penahanan seorang lelaki kurang upaya.

"Anggota polis berlari ke arah saya.

"Ia situasi yang amat tidak menyenangkan, saya mengalami kekejangan dan tidak boleh bernafas," kata Sosnovskaya.

Menurutnya lagi, dia dan beberapa yang lain dibawa ke balai polis sebelum dibebaskan beberapa jam kemudian dengan amaran.

Kementerian terbabit berkata, pihaknya membuka siasatan dalaman berhubung kes berkenaan dan berjanji pihak yang bersalah akan dipertanggungjawabkan.

Artikel Berkaitan:

Keputusan menyekat calon pembangkang daripada menyertai pilihan raya tempatan di bandar Moscow mencetuskan gelombang protes yang dianggap antara terbesar sejak Presiden Vladimir Putin kembali ke Kremlin pada tahun 2012.

Tunjuk perasaan Sabtu lalu yang mendapat kelulusan majlis perbandaran disertai kira-kira 60,000 penunjuk perasaan, seramai 136 orang dilaporkan ditahan selepas menuju ke pejabat pentadbiran Presiden. - AFP