GPS gerakkan petisyen haramkan Dong Zong

A
A

SHAH ALAM - Gerakan Pengundi Sedar (GPS) telah mewujudkan satu petisyen mengumpul tandatangan orang ramai bagi mengharamkan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).

Sehingga jam 10.45 pagi tadi petisyen itu telah mengumpul hampir 75,520 tandatangan.

Kempen itu dibuka kepada seluruh rakyat Malaysia selepas Dong Zong melancarkan petisyen membantah tulisan jawi di sekolah vernakular.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu dalam satu kenyataan berkata, persatuan Cina itu antara paling awal menentang tulisan jawi di sekolah kerajaan melibatkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) untuk pelajar Tahun 4.

Menurutnya, Dong Zong bermati-matian menentangnya dengan memberi tekanan kepada kerajaan menerusi pelbagai tuntutan.

“Mereka juga mengumpulkan NGO-NGO Cina dan India, selain menghasut kaum itu menentang usaha ini.

“Akhirnya kerajaan bertolak ansur dengan melonggarkan syarat implementasi sehingga pembelajaran ini menjadi pilihan dan setakat tiga muka surat dalam buku teks,” kata GPS.

Katanya lagi, tidak berpuas hati dengan tolak ansur kerajaan, Dong Zong turut bermain pula dengan sentimen agama iaitu mengaitkan tulisan jawi dan khat dengan Islamisasi.

Kini, mereka menggerakkan satu petisyen membantah tulisan jawi dan ini menimbulkan fitnah yang besar kepada negara terutama umat Islam di Malaysia.

Selain itu katanya, Dong Zong turut menuntut agar peperiksaan persendirian Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) diterima sebagai tiket untuk masuk ke universiti awam walaupun kerajaan sudah memberikan ruang untuk mereka masuk ke universiti swasta dan universiti kerajaan negeri.

"Banyak lagi tindakan ekstrim Dong Zong dalam memaksa kehendak mereka kepada rakyat Malaysia.

“Maka, kita tuntut agar Dong Zong ini diharamkan oleh kerajaan dan kami yakin ada banyak lagi pertubuhan Cina yang jauh lebih sederhana, patriotik dan moderat,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini menyifatkan Dong Zong sebagai rasis apabila sering membantah setiap dasar pendidikan negara termasuk usaha memperkenalkan tulisan jawi dan seni khat di sekolah.

Pertubuhan itu turut membantah penubuhan sekolah wawasan yang menghimpunkan ketiga-tiga sekolah rendah iaitu, Sekolah Kebangsaan, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) dalam satu kawasan.