China bimbang krisis Kashmir

Komuniti Islam di Los Angeles mengadakan protes membantah keputusan India terhadap Kashmir. -Foto AFP
Komuniti Islam di Los Angeles mengadakan protes membantah keputusan India terhadap Kashmir. -Foto AFP
A
A
A

BEIJING - China menyuarakan rasa khuatir terhadap krisis yang sedang berlaku di wilayah Kashmir yang ditadbir India selepas ia dibahagikan kepada tiga bahagian dan penubuhan zon pentadbiran baharu untuk Ladakh berhampiran sempadan Beijing.

“Bagi China, kewujudan sebuah lagi kawasan Buddha di sempadan negara itu akan menimbulkan kebimbangan yang besar,” lapor Nikkei Asian Review memetik kenyataan seorang diplomat Barat yang enggan identitinya didedahkan.

Jelasnya, ketegangan yang berterusan di Kashmir dikhuatiri akan membangkitkan gerakan anti-Beijing di Tibet yang dipimpin Dalai Lama.

“Bagi China, adalah sangat penting untuk mengubah langkah unilateral yang dibuat India. Mereka bimbang ia akan mewujudkan rantau berasingan dengan jumlah penduduk Buddha yang besar,” katanya merujuk kepada identiti baharu Ladakh di bawah perubahan Artikel 370 dibuat New Delhi.

Menurutnya lagi, perkembangan sedemikian berpotensi menggalakkan komuniti lain terutamanya etnik minoriti Uighur di wilayah Xinjiang memperbaharui tuntutan untuk kuasa autonomi dan kemerdekaan daripada Beijing.

Selain itu, China juga bimbang dengan keselamatan pelaburan berjumlah lebih AS$60 bilion (RM251 bilion) yang dibuat di bawah Koridor Ekonomi China Pakistan (CPEC) di Islamabad yang bertujuan menghubungkan laluan barat Beijing dengan pelabuhan Gwadar.

Sebelum ini, negara antarabangsa pernah menyuarakan kebimbangan dengan krisis yang tercetus antara India dan Pakistan berpunca daripada insiden serangan di Pulwama pada Februari lalu.

Sejak minggu lalu, hubungan diplomatik antara kedua-dua negara kuasa nuklear itu kembali tegang akibat keputusan terburu-buru dibuat New Delhi berhubung status istimewa di Kashmir. - Agensi

Artikel Berkaitan: